Citation
Shaharuddin, Adiba Nur'Ain
(2021)
Peristiwa bahasa berdasarkan konsep arif budiman dalam novel Nanyang.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Nilai yang baik menjadi teras pembentukan jati diri seseorang individu.
Penghayatan terhadap nilai yang baik dapat melahirkan modal insan yang
menyanjung tinggi agama, adat dan budaya bangsanya. Walau bagaimanapun,
penghayatan nilai murni dilihat semakin berkurangan, santun dan budi bahasa
dalam kalangan masyarakat juga semakin merosot. Selain itu, pemahaman
masyarakat tentang konsep Arif Budiman juga masih samar sehingga
menyebabkan konsep ini sukar direalisasikan. Dalam hal ini, konsep Arif Budiman
dapat membentuk insan yang berilmu pengetahuan, berkeperibadian mulia dan
bersedia untuk menabur bakti. Sehubungan dengan itu, kajian ini bertujuan untuk
mengkategorikan peristiwa bahasa dalam novel pilihan berdasarkan Kerangka
Konsep Komponen Komunikasi Muriel Saville-Troike (2003). Seterusnya,
menganalisis peristiwa tersebut menggunakan konsep Arif Budiman yang telah
diperkenalkan oleh Azhar Ibrahim Alwee (2011). Komponen Komunikasi Muriel
Saville-Troike merangkumi sepuluh komponen, iaitu genre, topik, tujuan, latar,
peserta, bentuk mesej, kandungan mesej, urutan perilaku, peraturan interaksi dan
norma interpretasi. Konsep Arif Budiman pula mencakupi sepuluh ciri, iaitu (1)
akur akan haknya, (2) bertanggungjawab, (3) akal memperteguh sistem nilai, (4)
progresif, kritis dan kreatif, (5) bangga akan bangsa dan budaya, (6) menghormati
masyarakat berbudaya, (7) teguh meyakini agama, (8) keberanian moral, (9)
menangkis sikap prejudis dan (10) akur akan sejarah. Data kajian sebanyak 37
peristiwa bahasa dikumpul daripada novel Nanyang (2015), karya Hafizah
Iszahanid. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dan kaedah analisis
kandungan teks. Kajian mendapati bahawa terdapat 188 kekerapan bagi
komponen komunikasi yang dapat dikenal pasti. Komponen “genre” dan “peserta”
hadir dalam keseluruhan peristiwa bahasa (19.7%) diikuti “tujuan” (15.6%) dan
“topik” (15.4%), manakala komponen “peraturan interaksi” (0.5%) dan urutan
perilaku (0.5%) mempunyai kekerapan yang paling rendah. Analisis menunjukkan
bahawa terdapat 71 kekerapan peristiwa bahasa dalam novel Nanyang yang
mempunyai perkaitan erat dengan konsep Arif Budiman. Ciri Arif Budiman yang paling dominan dalam novel ialah “akal memperteguh sistem nilai” (26.8%), diikuti
“bertanggungjawab” (16.9%), manakala kedudukan paling rendah ialah ciri “akur
akan sejarah” (1.4%). Kajian ini diharap dapat menambah pengetahuan
masyarakat, terutamanya generasi muda tentang kepentingan untuk menghayati
konsep Arif Budiman dalam kehidupan seharian. Secara keseluruhannya, konsep
ini dapat dijadikan panduan kepada masyarakat untuk mengamalkan sistem nilai
yang baik dan memperkukuh jati diri bangsa walau di mana sahaja berada.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |