Citation
Ismail, Edaham
(2021)
Kohesi wacana naratif lima rasul dalam surah Al-A'raf.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Dalam al-Quran terdapat pelbagai kisah yang dipamerkan, antaranya kisah Nabi Nuh
AS, Nabi Hud AS, Nabi Salih AS, Nabi Lut AS dan Nabi Syuaib AS. Oleh itu, kajian ini
bertujuan untuk membincangkan setiap struktur utama kisah lima rasul ini, kerana
dengannya berdiri sebuah wacana naratif. Ianya dibentuk daripada unit-unit kecil yang
dipanggil elemen yang dihubungkan secara kohesi (perkaitan secara bahasa) dan koheren
(perkaitan secara makna) untuk menjadi sebuah wacana naratif unggul dan
menggambarkan identitinya yang sebenar.
Kelima-lima wacana naratif ini diletakkan seiring pada tempatnya yang pertama dalam
surah al-Aʿrāf, menimbulkan persoalan kenapa ianya tidak diasingkan seperti kisah-kisah yang lain. Bagi merungkaikannya, teori kohesi dan koheren digunakan bagi
melihat perkaitannya dan tanpa perkaitan, mesej yang hendak disampaikan menjadi
kabur. Kedua-dua teori ini belum diaplikasikan secara menyeluruh dalam teks wacana
naratif yang digabungkan yang berbentuk argumentatif. Kajian kohesi adalah penting
untuk menunjukkan keistimewaan yang tertentu yang terdapat dalam al-Quran yang
berbeza dengan teks lain seperti disarankan (al-Shenqeeti, 2019). Oleh itu, kajian kohesi
yang berpusatkan teks adalah diperlukan serta digandingkan bersama koheren. Hal ini
kerana koheren dapat menggambarkan aliran idea yang lancar, kejelasan dan keutuhan
yang dapat difahami daripada sesuatu teks, serta terdapat kekurangan kajian koheren
dalam teks wacana naratif al-Quran dalam perspektif linguistik moden seperti dijelaskan
(Abdul Rauf, 2019). Justeru, objektif kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti struktur
wacana naratif lima rasul dalam surah al-Aʿrāf, menganalisis jenis dan alat kohesi dalam
setiap struktur wacana naratif yang dibentuk untuk mempamerkan keutuhannya, dan
merumus corak elemen kohesi yang digunakan dalam koheren yang tertentu. Bagi
memenuhi objektif kajian tersebut teori kohesi Halliday dan Hasan (1976) dan teori
koheren Mann dan Thompson (1988) digunakan sebagai panduan dalam menganalisis
teks ini. Kajian menemui wacana naratif lima rasul dibina atas enam struktur asas utama, iaitu
mukadimah, ajakan, hujah kaum, hujah balas para nabi, kesudahan dan penutup. Di
samping itu, kohesi pengulangan sempurna, pengulangan tidak sempurna dan sinonim
digunakan dalam kohesi secara global yang merentasi struktur mukadimah, kandungan
dan penutup dan ianya merupakan ciri yang dominan. Kohesi kolokasi, antonim,
superordinat digunakan dalam kohesi lokal, iaitu merentasi ayat yang berdekatan dan
merupakan ciri utamanya. Kohesi global dan lokal ini hadir dalam bentuk gabungan dan
tunggal serta hadir pada peringkat perkataan dengan perkataan, perkataan dengan ayat
dan ayat dengan ayat.
Dari segi koheren, terdapat persamaan dan perbezaan, seperti koheren justifikasi dengan
bukti dari segi intuisi dan ajakan, koheren elaborasi dengan interpretasi dari segi huraian
dan penjelasan. Jenis-jenis kohesi leksikal tertentu menunjukkan suatu makna yang
signifikan dengan koheren tertentu, seperti kohesi kolokasi menunjukkan makna koheren
justifikasi dan interpretasi. Beberapa elemen baharu dapat dikenal pasti, iaitu elemen
elaborasi subjek dan sifat, elemen hasil, elemen akibat, dan penutup yang dapat
dibahagikan kepada dua kesimpulan.
Kajian merumuskan wujudnya kepelbagaian bentuk dan jenis kohesi leksikal dan
koheren yang digarap dalam wacana naratif lima rasul, dapat menghasilkan model kohesi
dan koheren yang mengetengahkan kaedah penulisan yang berbentuk hujahan serta
model berhujah yang berkesan. Model ini perlu dikembangkan dalam bidang pendidikan
dan dakwah sebagai alternatif kepada model yang sedia ada.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |