UPM Institutional Repository

Eksplorasi sistem aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan kanak-kanak Tabika KEMAS melalui pengintegrasian papan putih interaktif bagi penguasaan kemahiran abad ke-21


Citation

T Mohamed, Norsidah (2020) Eksplorasi sistem aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan kanak-kanak Tabika KEMAS melalui pengintegrasian papan putih interaktif bagi penguasaan kemahiran abad ke-21. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Penerimaan terhadap teknologi seperti Papan Putih Interaktif dalam sebuah sistem aktiviti perlu diberi perhatian bagi memastikan teknologi tersebut dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Hal ini kerana setiap sistem aktiviti yang mempunyai latar belakang unik dan tersendiri merupakan asas yang mencorakkan perjalanan semua aktiviti di dalamnya. Justeru, kajian ini bertujuan untuk mengeksplorasi sistem aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan kanak-kanak Tabika KEMAS dalam pengintegrasian Papan Putih Interaktif untuk penguasaan kemahiran abad ke-21 melalui tiga persoalan kajian iaitu (1) Apakah peranan aktiviti sistem Tabika KEMAS terhadap pengintegrasian Papan Putih Interaktif dalam pembelajaran dan pemudahcaraan kanak-kanak?; (2) Apakah tujuan pengintegrasian Papan Putih Interaktif dalam pengajaran dan pemudahcaraan oleh guru Tabika KEMAS?; dan (3) Apakah sumbangan integrasi Papan Putih Interaktif terhadap penguasaan kemahiran abad 21 dalam kalangan murid prasekolah? Bagi menjawab tiga persoalan yang digariskan, kajian ini telah menggunakan Teori Aktiviti Budaya dan Sejarah sebagai asas kerangka kajian. Untuk meneroka secara mendalam subjek kajian iaitu guru, Kerangka Pengetahuan Teknologi, Pedagogi dan Kandungan telah digunakan, manakala Teori Proses Membuat Keputusan Inovasi digunakan untuk memahami pengintegrasian Papan Putih Interaktif di Tabika KEMAS. Kajian ini dijalankan menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif dengan pendekatan kajian kes. Seramai empat orang guru Tabika KEMAS telah dilibatkan sebagai peserta kajian. Data dikumpulkan menerusi temu bual secara mendalam yang disokong dengan maklumat daripada pemerhatian tidak turut serta, analisis dokumen, dan nota lapangan. Data seterusnya dianalisis dan diberikan kod, kategori dan sub tema bagi membangunkan tema utama untuk menjawab setiap persoalan kajian. Kajian ini mendapati amalan perkongsian matlamat antara ahli dalam sistem, sokongan yang seimbang antara ahli dalam aktiviti sistem Tabika KEMAS dengan peraturan serta rutin yang jelas, disokong dengan sifat ahlinya yang berdaya saing serta pemilihan alat yang tepat merupakan asas kekuatan dalam sistem Tabika KEMAS. Dari aspek pemilihan alat ini juga, guru didapati mempunyai pelbagai tujuan dalam pemilihan Papan Putih Interaktif. Tujuan tersebut ialah untuk mempelbagaikan sumber pembelajaran dan pemudahcaraan, melancarkan pengurusan bilik darjah, merangsang penguasaan kemahiran literasi dan mewujudkan suasana pembelajaran interaktif di dalam kelas prasekolah. Pembudayaan Papan Putih Interaktif di dalam kelas prasekolah didapati berupaya menyokong penguasaan kemahiran abad ke-21 kanak-kanak khususnya melalui penguasaan kemahiran berkomunikasi, mengubah sikap pasif kepada lebih aktif, merangsang pemikiran kritikal, serta merangsang keupayaan untuk melakukan transformasi maklumat visual kepada bentuk konkrit. Kajian ini membantu pelbagai pihak yang berkepentingan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), para guru serta komuniti bagi mengenal pasti peranan yang boleh dimainkan dalam sebuah sistem sosial. Implikasi daripada kajian ini dapat membantu pembinaan amalan dan interaksi optimum dalam sistem pendidikan, pembentukan peribadi guru ke arah yang lebih inovatif serta berdaya saing, serta pemilihan alat atau medium pembelajaran yang terbaik.


Download File

[img] Text
FPP 2021 34 IR.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Education, Preschool
Subject: Education, Preschool - Audio-visual aids
Call Number: FPP 2021 34
Chairman Supervisor: Mas Nida Md. Khambari, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Editor
Date Deposited: 11 Apr 2023 00:31
Last Modified: 11 Apr 2023 00:31
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/99367
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item