Citation
T Mohamed, Norsidah
(2020)
Eksplorasi sistem aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan kanak-kanak Tabika KEMAS melalui pengintegrasian papan putih interaktif bagi penguasaan kemahiran abad ke-21.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Penerimaan terhadap teknologi seperti Papan Putih Interaktif dalam sebuah sistem
aktiviti perlu diberi perhatian bagi memastikan teknologi tersebut dapat dimanfaatkan
dengan sebaik mungkin. Hal ini kerana setiap sistem aktiviti yang mempunyai latar
belakang unik dan tersendiri merupakan asas yang mencorakkan perjalanan semua
aktiviti di dalamnya. Justeru, kajian ini bertujuan untuk mengeksplorasi sistem aktiviti
pembelajaran dan pemudahcaraan kanak-kanak Tabika KEMAS dalam
pengintegrasian Papan Putih Interaktif untuk penguasaan kemahiran abad ke-21
melalui tiga persoalan kajian iaitu (1) Apakah peranan aktiviti sistem Tabika KEMAS
terhadap pengintegrasian Papan Putih Interaktif dalam pembelajaran dan
pemudahcaraan kanak-kanak?; (2) Apakah tujuan pengintegrasian Papan Putih
Interaktif dalam pengajaran dan pemudahcaraan oleh guru Tabika KEMAS?; dan (3)
Apakah sumbangan integrasi Papan Putih Interaktif terhadap penguasaan kemahiran
abad 21 dalam kalangan murid prasekolah?
Bagi menjawab tiga persoalan yang digariskan, kajian ini telah menggunakan Teori
Aktiviti Budaya dan Sejarah sebagai asas kerangka kajian. Untuk meneroka secara
mendalam subjek kajian iaitu guru, Kerangka Pengetahuan Teknologi, Pedagogi dan
Kandungan telah digunakan, manakala Teori Proses Membuat Keputusan Inovasi
digunakan untuk memahami pengintegrasian Papan Putih Interaktif di Tabika
KEMAS.
Kajian ini dijalankan menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif dengan pendekatan
kajian kes. Seramai empat orang guru Tabika KEMAS telah dilibatkan sebagai peserta
kajian. Data dikumpulkan menerusi temu bual secara mendalam yang disokong dengan maklumat daripada pemerhatian tidak turut serta, analisis dokumen, dan nota
lapangan. Data seterusnya dianalisis dan diberikan kod, kategori dan sub tema bagi
membangunkan tema utama untuk menjawab setiap persoalan kajian.
Kajian ini mendapati amalan perkongsian matlamat antara ahli dalam sistem,
sokongan yang seimbang antara ahli dalam aktiviti sistem Tabika KEMAS dengan
peraturan serta rutin yang jelas, disokong dengan sifat ahlinya yang berdaya saing
serta pemilihan alat yang tepat merupakan asas kekuatan dalam sistem Tabika
KEMAS. Dari aspek pemilihan alat ini juga, guru didapati mempunyai pelbagai tujuan
dalam pemilihan Papan Putih Interaktif. Tujuan tersebut ialah untuk mempelbagaikan
sumber pembelajaran dan pemudahcaraan, melancarkan pengurusan bilik darjah,
merangsang penguasaan kemahiran literasi dan mewujudkan suasana pembelajaran
interaktif di dalam kelas prasekolah. Pembudayaan Papan Putih Interaktif di dalam
kelas prasekolah didapati berupaya menyokong penguasaan kemahiran abad ke-21
kanak-kanak khususnya melalui penguasaan kemahiran berkomunikasi, mengubah
sikap pasif kepada lebih aktif, merangsang pemikiran kritikal, serta merangsang
keupayaan untuk melakukan transformasi maklumat visual kepada bentuk konkrit.
Kajian ini membantu pelbagai pihak yang berkepentingan khususnya Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
(KKLW), para guru serta komuniti bagi mengenal pasti peranan yang boleh dimainkan
dalam sebuah sistem sosial. Implikasi daripada kajian ini dapat membantu pembinaan
amalan dan interaksi optimum dalam sistem pendidikan, pembentukan peribadi guru
ke arah yang lebih inovatif serta berdaya saing, serta pemilihan alat atau medium
pembelajaran yang terbaik.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |