UPM Institutional Repository

Tarbiyah dan amalan pembelajaran organisasi aktivis organisasi bukan kerajaan Islam di Malaysia


Citation

Shaikh Ahmad, Shaikh Mansoor (2020) Tarbiyah dan amalan pembelajaran organisasi aktivis organisasi bukan kerajaan Islam di Malaysia. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kajian ini bertujuan bagi meneroka Tarbiyah sebagai amalan Pembelajaran Organisasi (TPO) aktivis sebuah Organisasi Bukan Kerajaan Islam Terpilih (OBKIT) di Malaysia. Konsep Pembelajaran Organisasi (PO) di dalam Pembangunan Sumber Manusia (PSM) telah digunakan bagi latihan dan pembangunan ahli-ahli di dalam organisasi bukan kerajaan berhubung pembangunan domain kognitif, afektif dan psikomotor melalui kegiatan kesukarelawan mereka (Swanson 1995, Britton, 2005). TPO adalah usaha-usaha mengadaptasi konsep PO bagi membangunkan individu dan kumpulan aktivis OBKIT daripada perspektif Islam. Ungkapan TPO lebih sesuai digunakan bagi pembangunan aktivis OBKIT kerana pembangunan jasad dan kerohanian mereka secara bersepadu atau holistik. Pembangunan kerohanian mereka pula boleh dikembangkan melalui entiti akal, qalbu, roh dan nafsu daripada pespektif Islam (Hamzah et al., 2010). Komuniti Pengamal (KoP) adalah individu-individu di dalam satu kumpulan manusia yang amat prihatin dan bersemangat untuk belajar, bersosial dan bekerjasama secara informal bagi memperoleh faedah, manfaat dan kepentingan bersama (Wenger, 1998). Individu-individu di dalam OBKIT merupakan sebuah KoP kerana mereka belajar dan beramal bersama-sama secara sukarela bagi membangunkan diri sendiri, kumpulan atau komuniti di samping terbabit di dalam amalan kebajikan kepada mereka yang memerlukan (Britton, 2005). OBKIT juga adalah sebuah Organisasi Pembelajaran (OP) (Marsick & Watkins, 2003) yang menyediakan program pembangunan di dalam bentuk TPO bagi membangunkan ahli-ahli mereka secara holistik daripada perspektif Islam (Othman & Ali, 2014). Proses TPO dengan fokus kepada aktiviti usrah adalah unit KoP aktivis OBKIT terkecil di mana sejumlah kecil aktivis bertemu dan belajar serta membangun secara informal setiap minggu (Elsasser 2014). Model TPO bagi pembangunan individu dan kumpulan ini digunakan sebagai asas kepada objektif memahami pengalaman pembelajaran sosial dalam kalangan KoP aktivis OBKIT di Malaysia (Bandura,1977; Wenger, 1998). Kajian ini dijalankan berpandukan kepada tiga soalan kajian iaitu 1) Apakah makna TPO kepada aktivis OBKIT?, 2) Bagaimanakah proses TPO berlaku dalam kalangan aktivis OBKIT?, dan 3) Bagaimanakah TPO menyumbang kepada kemampanan aktivis di dalam OBKIT?. Dapatan kajian telah menghasilkan sejumlah tema berhubung TPO KoP aktivis OBKIT di Malaysia. Tema memupuk nilai dan amalan Islam memberi makna kepada kehidupan aktivis OBKIT sebagai pelajar sepanjang hayat yang membentuk satu rangkaian sosial ukhuwah Islam berdasarkan amalan mematuhi syariah dalam rangka Rahmatul lil Alamin (Annova et al., 2018). Proses TPO telah membangunkan individu dan kumpulan aktivis OBKIT (Kolb, 1984) melalui prantisan (Lave & Wenger, 1991), Dakwah Fardiyah (Rakhmawati, 2013), Tarbiyah Zatiyah (Makhsin et al., 2012) dan pembangunan jasad dan kerohanian secara holistik (Lubis et al., 2009). Proses TPO juga menekankan pembangunan kerohanian aktivis OBKIT melalui integrasi kehidupan di dunia dan akhirat dengan konsep Islam sebagai addin (al-Attas, 1977). TPO dengan model kepemimpinan, menyediakan pelapis generasi muda dan kesukarelawan dengan kepuasan kendiri adalah faktor-faktor yang telah menyumbang kepada kemampanan aktivis bagi kesinambungan OBKIT (Watkins & Marsick, 1997). Kajian ini menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif berpadanan dengan penerokaan pengalaman kehidupan sosial KoP aktivis OBKIT membabitkan pembangunan luaran dan dalaman mereka. Pengumpulan data dijalankan melalui temu bual semi berstruktur ke atas Sembilan informan yang dipilih secara bertujuan (Merriam, 2009; Jameel et al., 2018). Pemerhatian juga dibuat di beberapa program pembangunan aktivis OBKIT berhubung analisis dokumen. Verbatim transkrip temu bual dianalisa secara manual yang membentuk tema kajian yang merujuk kepada kebolehpercayaan dan kesahan. Kesimpulan kajian ialah pembangunan KoP aktivis OBKIT melalui TPO menepati model Pembelajaran Sosial KoP (Wenger, 1998; Hamzah et al., 2010). Kajian ini telah menyumbang kepada mengembangkan teori dan konsep PO serta pembelajaran sosial KoP daripada perspektif Islam melalui pembangunan jasad dan kerohanian aktivis OBKIT secara holistik. Pengkaji mengakhiri kajian dengan membuat kesimpulan, implikasi dan cadangan kepada amalan pembangunan individu dan komuniti Muslim berhubung TPO KoP aktivis OBKIT daripada perspektif Islam berasaskan al-Quran dan Sunnah.


Download File

[img] Text
FPP 2021 14 UPMIR.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Organizational learning - Malaysia
Subject: Non-governmental organizations - Malaysia
Subject: Islamic learning and scholarship
Call Number: FPP 2021 14
Chairman Supervisor: Profesor Ismi Arif bin Ismail, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Editor
Date Deposited: 12 Oct 2022 07:30
Last Modified: 12 Oct 2022 07:30
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/98855
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item