Citation
Shaikh Ahmad, Shaikh Mansoor
(2020)
Tarbiyah dan amalan pembelajaran organisasi aktivis organisasi bukan kerajaan Islam di Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini bertujuan bagi meneroka Tarbiyah sebagai amalan Pembelajaran
Organisasi (TPO) aktivis sebuah Organisasi Bukan Kerajaan Islam Terpilih
(OBKIT) di Malaysia. Konsep Pembelajaran Organisasi (PO) di dalam
Pembangunan Sumber Manusia (PSM) telah digunakan bagi latihan dan
pembangunan ahli-ahli di dalam organisasi bukan kerajaan berhubung
pembangunan domain kognitif, afektif dan psikomotor melalui kegiatan
kesukarelawan mereka (Swanson 1995, Britton, 2005). TPO adalah usaha-usaha mengadaptasi konsep PO bagi membangunkan individu dan kumpulan
aktivis OBKIT daripada perspektif Islam. Ungkapan TPO lebih sesuai digunakan
bagi pembangunan aktivis OBKIT kerana pembangunan jasad dan kerohanian
mereka secara bersepadu atau holistik. Pembangunan kerohanian mereka pula
boleh dikembangkan melalui entiti akal, qalbu, roh dan nafsu daripada pespektif
Islam (Hamzah et al., 2010).
Komuniti Pengamal (KoP) adalah individu-individu di dalam satu kumpulan
manusia yang amat prihatin dan bersemangat untuk belajar, bersosial dan
bekerjasama secara informal bagi memperoleh faedah, manfaat dan
kepentingan bersama (Wenger, 1998). Individu-individu di dalam OBKIT
merupakan sebuah KoP kerana mereka belajar dan beramal bersama-sama
secara sukarela bagi membangunkan diri sendiri, kumpulan atau komuniti di
samping terbabit di dalam amalan kebajikan kepada mereka yang memerlukan
(Britton, 2005). OBKIT juga adalah sebuah Organisasi Pembelajaran (OP)
(Marsick & Watkins, 2003) yang menyediakan program pembangunan di dalam
bentuk TPO bagi membangunkan ahli-ahli mereka secara holistik daripada
perspektif Islam (Othman & Ali, 2014). Proses TPO dengan fokus kepada aktiviti usrah adalah unit KoP aktivis OBKIT
terkecil di mana sejumlah kecil aktivis bertemu dan belajar serta membangun
secara informal setiap minggu (Elsasser 2014). Model TPO bagi pembangunan
individu dan kumpulan ini digunakan sebagai asas kepada objektif memahami
pengalaman pembelajaran sosial dalam kalangan KoP aktivis OBKIT di
Malaysia (Bandura,1977; Wenger, 1998).
Kajian ini dijalankan berpandukan kepada tiga soalan kajian iaitu 1) Apakah
makna TPO kepada aktivis OBKIT?, 2) Bagaimanakah proses TPO berlaku
dalam kalangan aktivis OBKIT?, dan 3) Bagaimanakah TPO menyumbang
kepada kemampanan aktivis di dalam OBKIT?. Dapatan kajian telah
menghasilkan sejumlah tema berhubung TPO KoP aktivis OBKIT di Malaysia.
Tema memupuk nilai dan amalan Islam memberi makna kepada kehidupan
aktivis OBKIT sebagai pelajar sepanjang hayat yang membentuk satu rangkaian
sosial ukhuwah Islam berdasarkan amalan mematuhi syariah dalam rangka
Rahmatul lil Alamin (Annova et al., 2018).
Proses TPO telah membangunkan individu dan kumpulan aktivis OBKIT (Kolb,
1984) melalui prantisan (Lave & Wenger, 1991), Dakwah Fardiyah
(Rakhmawati, 2013), Tarbiyah Zatiyah (Makhsin et al., 2012) dan pembangunan
jasad dan kerohanian secara holistik (Lubis et al., 2009). Proses TPO juga
menekankan pembangunan kerohanian aktivis OBKIT melalui integrasi
kehidupan di dunia dan akhirat dengan konsep Islam sebagai addin (al-Attas,
1977). TPO dengan model kepemimpinan, menyediakan pelapis generasi muda
dan kesukarelawan dengan kepuasan kendiri adalah faktor-faktor yang telah
menyumbang kepada kemampanan aktivis bagi kesinambungan OBKIT
(Watkins & Marsick, 1997).
Kajian ini menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif berpadanan dengan
penerokaan pengalaman kehidupan sosial KoP aktivis OBKIT membabitkan
pembangunan luaran dan dalaman mereka. Pengumpulan data dijalankan
melalui temu bual semi berstruktur ke atas Sembilan informan yang dipilih
secara bertujuan (Merriam, 2009; Jameel et al., 2018). Pemerhatian juga dibuat
di beberapa program pembangunan aktivis OBKIT berhubung analisis
dokumen. Verbatim transkrip temu bual dianalisa secara manual yang
membentuk tema kajian yang merujuk kepada kebolehpercayaan dan kesahan.
Kesimpulan kajian ialah pembangunan KoP aktivis OBKIT melalui TPO
menepati model Pembelajaran Sosial KoP (Wenger, 1998; Hamzah et al., 2010).
Kajian ini telah menyumbang kepada mengembangkan teori dan konsep PO
serta pembelajaran sosial KoP daripada perspektif Islam melalui pembangunan
jasad dan kerohanian aktivis OBKIT secara holistik. Pengkaji mengakhiri kajian
dengan membuat kesimpulan, implikasi dan cadangan kepada amalan
pembangunan individu dan komuniti Muslim berhubung TPO KoP aktivis OBKIT
daripada perspektif Islam berasaskan al-Quran dan Sunnah.
Download File
Additional Metadata
Item Type: |
Thesis
(Doctoral)
|
Subject: |
Organizational learning - Malaysia |
Subject: |
Non-governmental organizations - Malaysia |
Subject: |
Islamic learning and scholarship |
Call Number: |
FPP 2021 14 |
Chairman Supervisor: |
Profesor Ismi Arif bin Ismail, PhD |
Divisions: |
Faculty of Educational Studies |
Depositing User: |
Editor
|
Date Deposited: |
12 Oct 2022 07:30 |
Last Modified: |
12 Oct 2022 07:30 |
URI: |
http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/98855 |
Statistic Details: |
View Download Statistic |
Actions (login required)
|
View Item |