Citation
Abu Bakar, Nora'Asikin
(2020)
Hubungan faktor persekitaran sosial, keterlibatan pelajar dalam pembelajaran dan pencapaian matematik di sebuah universiti swasta di Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Matlamat pembelajaran matematik pada peringkat universiti adalah untuk
mengembangkan pengetahuan sedia ada dan menjamin perolehan pengetahuan baharu
dalam matematik. Oleh itu, keterlibatan pelajar dalam pembelajaran matematik di
universiti menjadi penting memandangkan penguasaan matematik yang lemah akan
menjejaskan kelancaran pembelajaran kursus lain yang memerlukan kemahiran
matematik. Dewasa ini, penguasaan matematik dalam kalangan pelajar universiti
swasta semakin membimbangkan. Hadir lewat, ponteng kelas, “missing in action”,
penyerahan lewat, tidak lengkap dan tidak hantar tugasan memberi isyarat bahawa
pelajar kurang berminat dan kurang bersedia untuk mempelajari matematik. Trend
kehadiran kelas dan penyerahan tugasan yang tidak memuaskan menjurus kepada
kemerosotan tahap keterlibatan pelajar terhadap pembelajaran matematik.
Keterlibatan pelajar yang rendah dalam pembelajaran matematik mencabar keupayaan
pihak universiti untuk mencapai standard penilaian pelajar yang digariskan oleh
Agensi Kelayakan Malaysia.
Kajian ini bertujuan menentukan hubungan antara faktor persekitaran sosial,
keterlibatan pelajar dalam pembelajaran matematik dan pencapaian matematik dalam
kalangan pelajar di sebuah universiti swasta di Malaysia. Keterlibatan pelajar dalam
pembelajaran matematik merujuk kepada sejauh mana pelajar dapat melibatkan diri di
dalam kelas, melaksanakan tugasan matematik, dan mempunyai persepsi bahawa
belajar matematik adalah bermanfaat. Dalam kajian ini, keterlibatan pelajar dalam
pembelajaran matematik diukur menerusi keterlibatan pelajar di dalam kelas dan
terhadap perlaksanaan tugasan matematik. Berpandukan Model Keterlibatan Pelajar, Model Kerja Rumah dan Teori Penentuan
Diri, kesan faktor persekitaran sosial (amalan pengajaran pensyarah, pengaruh rakan
sebaya, penglibatan ibu bapa) terhadap keterlibatan pelajar dalam pembelajaran
matematik telah dikaji. Kajian deskriptif korelasi dengan menggunakan soal selidik
bagi tujuan pengumpulan data telah melibatkan 284 orang pelajar yang dipilih secara
persampelan rawak strata bernisbah. Analisis Pemodelan Persamaan Berstruktur
digunakan bagi mengkaji hubungan antara pemboleh ubah. Hasil analisis model
struktur menunjukkan empat daripada lima hipotesis kesan langsung adalah signifikan
bagi hubungan: 1) amalan pengajaran pensyarah dengan keterlibatan pelajar dalam
pembelajaran matematik (β=.538, p=.000), 2) penglibatan ibu bapa dengan
keterlibatan pelajar dalam pembelajaran matematik (β=.403, p=.000), 3) penglibatan
ibu bapa dengan pencapaian matematik (β=-.386, p=.00), dan 4) keterlibatan pelajar
dalam pembelajaran matematik dengan pencapaian matematik (β=.445, p=.000).
Bagi kesan perantara, keterlibatan pelajar dalam pembelajaran matematik merupakan
pengantara separa hubungan penglibatan ibu bapa dengan pencapaian matematik. Bagi
kesan penyederhana pula, gender merupakan penyederhana bagi hubungan
penglibatan ibu bapa dengan keterlibatan pelajar dalam pembelajaran matematik.
Manakala, pelajar dalam dan luar negara pula penyederhana bagi hubungan amalan
pengajaran pensyarah dengan keterlibatan pelajar dalam pembelajaran matematik dan
keterlibatan pelajar dalam pembelajaran matematik dengan pencapaian matematik.
Secara keseluruhan, kajian ini mendapati tahap keterlibatan pelajar di universiti swasta
dalam pembelajaran matematik adalah pada tahap sederhana. Amalan pengajaran
pensyarah dan penglibatan ibu bapa secara signifikan mempengaruhi keterlibatan
pelajar dalam pembelajaran matematik, namun pengaruh rakan sebaya tidak memberi
kesan kepada keterlibatan pelajar dalam pembelajaran matematik. Dapatan kajian ini
akan memberi panduan kepada pihak universiti khususnya bagi jabatan matematik dan
pensyarah matematik untuk meningkatkan keterlibatan pelajar dalam pembelajaran
matematik. Seterusnya, pengetahuan yang diperoleh daripada kajian ini juga
menyumbang input baharu kepada pengkaji bidang matematik dan boleh dijadikan
asas untuk dikembangkan dalam kajian pada masa akan datang.
Download File
Additional Metadata
Item Type: |
Thesis
(Doctoral)
|
Subject: |
Mathematics - Study and teaching (Higher) - Malaysia |
Subject: |
Education - Social aspects |
Subject: |
Education - Environmental aspects |
Call Number: |
IPM 2021 12 |
Chairman Supervisor: |
Profesor Ahmad Fauzi bin Mohd Ayub, PhD |
Divisions: |
Institute for Mathematical Research |
Depositing User: |
Ms. Nur Faseha Mohd Kadim
|
Date Deposited: |
20 Sep 2022 01:38 |
Last Modified: |
20 Sep 2022 01:38 |
URI: |
http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/98776 |
Statistic Details: |
View Download Statistic |
Actions (login required)
|
View Item |