Citation
Mohd Shukor, Shahrul Azli
(2019)
Amalan pembangunan kandungan dokumentari Malaysia untuk pasaran antarabangsa.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Di Malaysia pasaran penerbitan dokumentari amat terhad. Faktor penyebab
fenomena ini ialah kerana slot tayangan dokumentari yang terhad dan bayaran
produksi yang rendah. Kemelut ini berterusan apabila wujud masalah kualiti
skrip, kurangnya penyelidikan dan tempoh masa yang pendek untuk pembikinan
akibat bayaran yang rendah oleh pihak penyiar tempatan. Dengan demikian,
pasaran antarabangsa merupakan penyelesaian yang berpotensi tinggi untuk
penerbit dokumentari tempatan. Namun kekurangan pendedahan dan
pengalaman telah menghadkan usaha penerbit tempatan untuk menembusi
pasaran antarabangsa. Standard dan kualiti penerbitan yang tinggi diperlukan
bagi dokumentari di siaran antarabangsa.
Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti ciri-ciri dan amalan pembangunan
kandungan dokumentari Malaysia untuk pasaran antarabangsa dengan meneroka
apakah ciri-ciri dan amalan pembangunan kandungan yang baik. Kajian ini
menggunakan kaedah kualitatif dengan mengaplikasikan pendekatan
fenomenologi bagi memahami fenomena penerbitan dokumentari Malaysia
untuk pasaran antarabangsa. Teori Auteur menjadi asas kepada kajian ini. Teori
Auteur menyarankan bahawa sesuatu karya itu dibentuk hasil daripada stail
individu pengarah dengan digabungkan dengan kepakaran teknikal sehingga
membentuk makna kepada karya mereka.
Kajian ini melibatkan 7 orang penerbit dokumentari tempatan yang
berpengalaman menerbitkan dokumentari untuk penyiar antarabangsa. Informan dipilih melalui kaedah persampelan bertujuan. Semua informan ditemu bual
secara mendalam dan hasil temu bual dirakam dan ditranskrip. Ia kemudiannya
dianalisis untuk mendapatkan data mengenai fenomena dokumentari Malaysia
untuk pasaran antarabangsa.
Hasil kajian ini mendapati pembikin dokumentari perlu memahami ciri-ciri
kandungan dokumentari dan mempraktis amalan pembangunan kandungan yang
baik untuk menghasilkan dokumentari untuk pasaran antarabangsa, Wujud satu
corak yang perlu dipraktik pembikin dokumentari apabila membangunkan
kandungan untuk dokumentari antarabangsa. Corak atau disebut sebagai trend
ini merupakan keperluan yang mesti ditetapi kerana ia menjadi kunci utama
kepada penerimaan penyiar antarabangsa. Kajian ini mengenal pasti bahawa
elemen cerita dan karakter amat dititik beratkan dalam pembangunan jalan cerita.
Selain itu, kajian ini mendapati pembikin dokumentari perlu untuk mempraktik
amalan-amalan pembangunan kandungan yang baik iaitu kaedah pencarian idea,
proses penyelidikan dan kaedah pembangunan treatment.
Secara rumusan, kajian ini menemui ciri-ciri dan kaedah yang baik dalam
pembangunan kandungan dokumentari untuk pasaran antarabangsa pada tahap
pra-produksi, Jika ada kajian lain di masa hadapan, fokus boleh diberikan kepada
kajian pada tahap produksi dan pasca-produksi untuk melihat keperluan penyiar
antarabangsa pada tahap ini pula.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |