UPM Institutional Repository

Kesan pengantara pembelajaran berterusan terhadap hubungan antara efikasi kendiri, orientasi matlamat dan prestasi peranan guru pendidikan Islam sebagai ejen perubahan masyarakat


Citation

Ishak, Maziahtusima (2020) Kesan pengantara pembelajaran berterusan terhadap hubungan antara efikasi kendiri, orientasi matlamat dan prestasi peranan guru pendidikan Islam sebagai ejen perubahan masyarakat. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kesinambungan peranan guru Pendidikan Islam (GPI) sebagai ejen perubahan untuk mendidik masyarakat dalam konteks pendidikan Islam tidak formal adalah penting bagi mendokong aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan Falsafah Pendidikan Islam (FPI). Kajian ini bertujuan menentukan tahap faktor individu terpilih iaitu efikasi kendiri, pembelajaran berterusan, orientasi matlamat pencapaian, orientasi matlamat pembelajaran dan prestasi peranan GPI sebagai ejen perubahan masyarakat. Kajian juga ingin menentukan hubungan faktor individu tersebut dengan prestasi peranan serta menilai fungsi pembelajaran berterusan sebagai pemboleh ubah pengantara terhadap hubungan antara setiap faktor individu dengan prestasi peranan GPI sebagai ejen perubahan masyarakat. Peranan GPI sebagai ejen perubahan masyarakat adalah berdasarkan teori peranan dan ciri-ciri ejen perubahan berkesan Havelock dan Havelock iaitu sebagai pemangkin perubahan, penyelesai masalah, penghubung sumber dan pembantu proses. Kajian melibatkan 320 orang GPI yang berkhidmat di sekolah agama swasta termasuk sekolah tahfiz di sembilan (9) buah daerah di Selangor. Sampel dipilih menggunakan kaedah persampelan rawak berstrata. Data dikumpul dalam beberapa fasa iaitu data untuk analisis faktor penerokaan, kajian rintis dan kajian sebenar. Instrumen yang digunakan dalam kajian ialah borang soal selidik yang terdiri daripada 66 item dengan nilai kebolehpercayaan keseluruhan instrumen ialah .96. Data dianalisis menggunakan perisian SPSS v23.0 dan analisis statistik deskriptif digunakan bagi menjelaskan profil demografi dan tahap pemboleh ubah kajian manakala statistik inferensi seperti kaedah analisis Pemodelan Persamaan Berstruktur (SEM) serta bootstrapping digunakan bagi menguji hipotesis dan kesan pengantara pembelajaran berterusan terhadap hubungan setiap faktor dengan prestasi peranan. Hasil kajian mendapati tahap efikasi kendiri, pembelajaran berterusan, orientasi matlamat pencapaian, orientasi matlamat pembelajaran GPI adalah tinggi manakala prestasi peranan GPI sebagai ejen perubahan masyarakat pada tahap sederhana. Analisis hubungan antara efikasi kendiri dengan prestasi peranan pula menunjukkan hubungan yang positif antara keduanya tetapi lemah dan tidak signifikan. Pembelajaran berterusan dan orientasi matlamat pembelajaran pula menunjukkan terdapat hubungan yang positif dan signifikan dengan prestasi peranan manakala orientasi matlamat pencapaian didapati mempunyai hubungan yang negatif dan tidak signifikan dengan prestasi peranan. Amalan pembelajaran berterusan secara individu dan berkumpulan pula didapati mampu bertindak sebagai sebagai pengantara kepada hubungan antara efikasi kendiri, orientasi matlamat pencapaian dan orientasi matlamat pembelajaran dengan prestasi peranan tetapi kesan saiz pengantara adalah berbeza-beza bagi setiap pemboleh ubah. Sebagai kesimpulan, kajian ini menunjukkan bahawa efikasi kendiri, kombinasi faktor motivasi dalaman iaitu orientasi matlamat pencapaian dan orientasi matlamat pembelajaran serta amalan pembelajaran berterusan mampu meningkatkan prestasi peranan GPI sebagai ejen perubahan masyarakat dalam usaha memperkasa agenda pembangunan negara melalui pengukuhan aspek keagamaan dalam konteks pendidikan tidak formal.


Download File

[img] Text
FPP 2020 30 - IR.pdf

Download (2MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Islamic education - Study and teaching
Subject: Islamic education
Subject: Muslim educators
Call Number: FPP 2020 30
Chairman Supervisor: Mohd. Mursyid Arshad, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Ms. Nur Faseha Mohd Kadim
Date Deposited: 21 Sep 2021 13:46
Last Modified: 21 Sep 2021 13:46
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/90764
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item