UPM Institutional Repository

Pemahaman guru terhadap pentaksiran lisan bilik darjah berdasarkan standard kemahiran lisan Bahasa Melayu menengah rendah


Citation

Jamil, Halimah (2019) Pemahaman guru terhadap pentaksiran lisan bilik darjah berdasarkan standard kemahiran lisan Bahasa Melayu menengah rendah. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kurikulum bahasa Melayu telah digubal semula dan mula digunakan pada tahun 2012 dengan mengaplikasikan sistem pentaksiran yang disepadukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Perubahan pendidikan di negara berikutan sebelum ini sistem pendidikan lebih berorientasi peperiksaan yang dianggap tidak sesuai dengan arus kemajuan pendidikan di persada global. Penyelidikan kualitatif dengan reka bentuk kajian kes ini dijalankan untuk meneroka pemahaman guru terhadap pentaksiran lisan bilik darjah berdasarkan kemahiran lisan bahasa Melayu menengah rendah. Secara khusus kajian ini merangkumi tiga objektif utama, iaitu; (i) mengenal pasti pemahaman guru terhadap pentaksiran lisan bahasa Melayu; (ii) menghuraikan pemahaman guru terhadap tatacara pelaksanaan pentaksiran lisan, dan (iii) menghuraikan pemahaman guru terhadap cara penskoran Tahap Penguasaan murid semasa pentaksiran lisan di dalam bilik darjah. Peserta kajian dalam kajian ini melibatkan enam orang guru bahasa Melayu yang mewakili dua orang untuk setiap sekolah yang terdiri daripada tiga buah sekolah berlainan kategori; SMK, SABK, dan SBP di salah sebuah daerah di Negeri Sembilan yang dipilih melalui persampelan bertujuan. Data kajian dikumpulkan melalui kaedah triangulasi, iaitu kaedah temu bual, pemerhatian di dalam bilik darjah, dan analisis dokumen berkaitan. Setelah data diperoleh dan dikumpulkan, data dianalisis dengan menggunakan perisian ATLAS.ti versi 8. Dapatan kajian menunjukkan bahawa peserta kajian faham bahawa pentaksiran lisan memerlukan murid berinteraksi dengan ujaran dan pengucapan yang tepat bagi menyampaikan maklumat, pendapat, dan idea. Analisis dapatan kajian juga menunjukkan bahawa peserta kajian melaksanakan pentaksiran lisan dengan berpandukan DSKP, mengintegrasikan teori fungsi dan peranan pentaksiran bilik darjah dan langkah-langkah yang digariskan oleh KPM. Namun demikian, terdapat sebilangan peserta kajian tidak melakukan perekodan, tindakan susulan, dan pelaporan pentaksiran. Dapatan kajian juga menunjukkan peserta kajian tidak dapat melakukan penskoran pentaksiran lisan seperti mana yang ditetapkan dalam Standard Prestasi dalam menentukan Tahap Penguasaan yang dicapai oleh murid. Hal ini berikutan, peserta kajian beranggapan penyataan setiap Tahap Penguasaan tidak jelas dan bersifat subjektif. Oleh itu, peserta kajian melakukan penskoran pentaksiran lisan berdasarkan pemahaman dan persepsi sendiri. Hal ini perlu ditangani segera khususnya pihak BPK kerana penskoran yang dilaksanakan oleh guru bertentangan dengan ketetapan DSKP. Sekiranya amalan penskoran seperti ini berterusan sudah pasti akan memberi kesan kepada murid terutamanya kemahiran komunikasi untuk berdepan dengan cabaran masa hadapan. Malah kualiti pengajaran guru akan dipertikaikan. Kajian ini dapat memberi implikasi daripada segi teori supaya pihak KPM dapat memantapkan pelaksanaan pentaksiran lisan, di samping menilai pelaksanaan penskoran yang dilakukan oleh guru agar tercapai hasrat yang ditetapkan dalam sistem pentaksiran KSSM secara lebih berkesan.


Download File

[img] Text
FPP 2020 6 - IR.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Malay language - Study and teaching (Secondary)
Subject: Assessment, Curriculum-based
Call Number: FPP 2020 6
Chairman Supervisor: Rozita@Radhiah Said, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Keywords: pentaksiran lisan, pelaksanaan, penskoran, standard kemahiran lisan, DSKP
Depositing User: Ms. Nur Faseha Mohd Kadim
Date Deposited: 25 Aug 2021 01:25
Last Modified: 25 Aug 2021 01:25
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/90625
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item