Citation
Masri, Normasitah
(2019)
Hubungan antara faktor terpilih dengan tekad keusahawanan dalam kalangan pelajar kolej vokasional di Zon Tengah, Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Graduan TVET disasarkan menjadi pekerja mahir atau separa mahir selain mampu
menjana pendapatan melalui aktiviti keusahawanan (Kementerian Pendidikan
Malaysia, 2011) selaras dengan objektif penubuhan kolej vokasional bagi melahirkan
70% pekerja industri dan 10% usahawan. Walau bagaimanapun, kajian pengesanan
oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (2018) menunjukkan peratusan graduan TVET
yang bekerja sendiri adalah yang terendah berbanding graduan universiti awam,
politeknik, dan kolej komuniti. Tekad keusahawanan dikenalpasti sebagai peramal
terbaik kepada tingkah laku keusahawanan dikaji dengan faktor-faktor terpilih; sikap
keusahawanan, norma sosial, efikasi keusahawanan, personaliti proaktif dan
keterlibatan pelajar dalam pembelajaran keusahawanan dengan tekad keusahawanan
dalam kalangan pelajar kolej vokasional di Zon Tengah, Malaysia. Kajian tekad
keusahawanan dijalankan menggunakan Teori Tingkahlaku Terancang oleh Ajzen
(1991), Teori Peristiwa Keusahawanan (Shapero dan Sokol, 1982) dan Teori
Penglibatan Pelajar (Astin, 1984).
Pendekatan kuantitatif menggunakan soal selidik melibatkan 256 orang pelajar telah
dipilih secara rawak berstrata dalam kalangan pelajar DVM di 16 buah kolej
vokasional di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Data soal selidik dianalisis menggunakan statistik deskriptif dan inferensi. Hasil kajian
mendapati tahap tekad keusahawanan pelajar berada pada tahap sederhana iaitu min
3.65 dengan sisihan piawai .84 (n= 244). Tahap tinggi bagi faktor sikap keusahawanan
(min = 3.75, SP = .63), personaliti proaktif (min = 3.87, SP = .53) dan norma sosial
(min = 3.75, SP = .66) manakala tahap sederhana bagi efikasi keusahawanan (min =
3.34, SP = .70), dan keterlibatan pelajar dalam pendidikan keusahawanan pula adalah
sederhana (min = 3.21, SP = .76). Terdapat perbezaan yang signifikan antara min tekad
keusahawanan [f(2, 243) = 9.060, p = .000] dalam kalangan pelajar di negeri-negeri yang dikaji. Ujian Korelasi Pearson menunjukkan terdapat hubungan signifikan yang
positif antara sikap keusahawanan pelajar (r=.791, p< .01), norma sosial (r = .579,
p<.01), efikasi keusahawanan (r = .632, p< .01), personaliti proaktif (r = .469, p< .01)
dan keterlibatan pelajar dalam pembelajaran keusahawanan (r = .475, p< .01) dengan
tekad keusahawanan. Keputusan analisis regresi pula menunjukkan bahawa
pembolehubah bebas yang terdiri daripada sikap keusahawanan, norma sosial, efikasi
keusahawanan, personaliti proaktif dan keterlibatan pelajar dalam pembelajaran
keusahawanan secara signifikan menyumbang sebanyak 63.2% ( R² = .632 ) varians
dalam tekad keusahawanan pelajar. Keseluruhannya, faktor–faktor keusahawanan
yang dikaji memberi kesan terhadap tekad keusahawanan pelajar. Sikap
keusahawanan merupakan faktor terkuat dalam pembentukan tekad keusahawanan
pelajar bagi menunjukkan tingkahlaku keusahawanan. Oleh itu, faktor-faktor tekad
keusahawanan terutamanya sikap keusahawanan perlu ditingkatkan dalam usaha
melahirkan lebih ramai usahawan kolej vokasional pada masa akan datang. Kajian ini
memberi sumbangan kepada teori yang digunakan dalam kajian iaitu dalam aspek
keterlibatan pelajar dalam pembelajaran keusahawanan walaupun tahap dan
hubunganya sederhana dengan tekad keusahawanan. Kajian lebih mendalam tentang
keterlibatan pelajar dalam pembelajaran keusahawanan patut dijalankan.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |