Citation
Ismail, Md Jais
(2019)
Keberkesanan pendekatan euritmik Dalcroze untuk meningkatkan koordinasi menyanyi dan bermain kompang dalam kalangan pelajar sekolah di Putrajaya, Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji kesan pengajaran pendekatan Euritmik Dalcroze ke
atas kemahiran menyanyi sambil bermain alat perkusi kompang dalam kalangan pelajar
sekolah. Kelebihan penggunaan pendekatan Euritmik Dalcroze telah dibuktikan dalam
pelbagai kajian lepas yang memfokuskan kepada penggunaan fizikal badan dengan
elemen muzik tetapi tidak dalam bidang koordinasi nyanyian dan permainan alat muzik.
Kemahiran koordinasi ini amat penting dalam pembelajaran muzik termasuk membuat
persembahan. Namun demikian, didapati kemahiran yang melibatkan pergerakan
permainan alat muzik serentak dengan nyanyian ini sukar dilakukan dengan kaedah
pengajaran sedia ada dalam kalangan guru-guru sekolah rendah. Hal ini menyebabkan
kekangan dalam pelbagai persembahan muzik yang melibatkan koordinasi muzikal
terutamanya menyanyi sambil bermain alat muzik. Ini bukan sahaja menjejaskan kualiti
persembahan malah memerlukan masa latihan yang lama walaupun kanak-kanak sudah
mempunyai kebolehan menyanyi atau bermain alat muzik. Ini didapati berdasarkan
penelitian literatur, pemerhatian, dan pengalaman penyelidik sebagai guru muzik di
sekolah rendah. Reka bentuk kuasi-eksperimental digunakan bagi mengumpul data dari
dua kelompok murid iaitu 35 orang dalam kumpulan rawatan dan 35 orang kumpulan
kawalan yang berumur sembilan tahun di sebuah sekolah rendah Putrajaya. Data ujian
pra dan ujian pasca menggunakan analisis nilai min, sisihan piawai, peratus, Ujian T
Sampel Berpasangan dan MANOVA satu hala. Instrumen untuk mengumpul data adalah
melalui Ujian Amali Muzik dan Inventori MUSIC daripada Jones (2017). Dapatan
daripada kumpulan kawalan dan rawatan menunjukkan intervensi kajian memberi kesan
yang signifikan terhadap pencapaian murid dalam kemahiran nyanyian, permainan alat
perkusi kompang dan koordinasi menyanyi sambil bermain kompang. Dapatan soal
selidik pula menunjukkan pendekatan Euritmik Dalcroze mempunyai kekuatan dari
aspek pengupayaan, kebolehgunaan, dan keprihatinan berbanding pendekatan
konvensional. Beberapa cadangan dikemukakan kepada guru-guru dan pihak
Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu menggalakkan lebih banyak aktiviti euritmik di
sekolah rendah, memberikan latihan tentang Euritmik Dalcroze kepada guru dengan lebih terperinci, dan mengaplikasikan pendekatan Euritmik Dalcroze dengan
menggunakan lagu-lagu dan alat-alat muzik tradisional Melayu.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |