Citation
Rosli, Muhammad Nur Akmal
(2019)
Teknik retorik dalam Hikayat Merong Mahawangsa.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Retorik merupakan satu seni pemakaian bahasa yang menarik, indah dan estetik bagi
memujuk atau mempengaruhi pembaca. Selain itu, retorik juga melibatkan penggunaan
bahasa yang memfokuskan aspek keterampilan, kesantunan dan pengaplikasian bahasa
yang berkesan dalam berkomunikasi secara lisan atau tulisan. Penyelidikan yang akan
dilaksanakan oleh pengkaji dalam kajian ini adalah mengenai penggunaan retorik
dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Objektif kajian ini adalah untuk membincangkan
lima teknik retorik dalam Kisah Pengislaman Maharaja Derbar Raja II, Hikayat
Merong Mahawangsa berdasarkan Teori Retorik Moden (1993). Objektif kedua pula
adalah untuk menganalisis teknik retorik yang dominan dalam Kisah Pengislaman
Maharaja Derbar Raja II, Hikayat Merong Mahawangsa. Kajian ini dijalankan
berdasarkan Teori Retorik Moden (1993) oleh Enos & Brown. Kajian ini juga
berpandukan sebuah buku hikayat Melayu yang diperkenalkan oleh Siti Hawa Haji
Salleh (1998) sebagai bahan kajian iaitu Hikayat Merong Mahawangsa. Namun, kajian
ini dijalankan terhadap satu bab sahaja dalam Hikayat Merong Mahawangsa iaitu Kisah
Pengislaman Maharaja Derbar Raja II. Pengumpulan data bagi kajian ini adalah
melalui kaedah analisis teks. Sehubungan dengan itu, keputusan kajian ini mendapati
bahawa penulis Hikayat Merong Mahawangsa telah menerapkan kelima-lima teknik
retorik iaitu retorik penceritaan, retorik pemerian, retorik pemujukan, retorik
pendedahan dan retorik penghujahan. Keputusan kajian ini juga menunjukkan
kekerapan penggunaan teknik retorik yang paling dominan dalam penulisan bab 4,
Hikayat Merong Mahawangsa. Keputusan kajian mendapati bahawa teknik retorik
yang paling dominan ialah retorik penceritaan iaitu sebanyak 18 kali atau 48.7%.
Kekerapan penggunaan teknik retorik yang kedua tinggi ialah retorik pemerian,
pemujukan dan penghujahan iaitu sebanyak 5 kali atau 13.5%, manakala kekerapan
penggunaan yang paling rendah adalah sebanyak 4 kali atau 10.8% iaitu retorik
pendedahan. Oleh itu, jelaslah bahawa penerapan retorik dalam penghasilan karya
kreatif terutamanya hikayat dapat menjamin kualiti penulisan yang baik dan menarik.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |