UPM Institutional Repository

Liabiliti sivil terhadap pembekal dalam isu representasi logo halal palsu dan mengelirukan


Citation

Naimat, Nasihah (2018) Liabiliti sivil terhadap pembekal dalam isu representasi logo halal palsu dan mengelirukan. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Undang-undang merupakan mekanisme paling berkesan dalam mengenakan liabiliti terhadap pembekal dalam isu representasi logo halal palsu dan mengelirukan. Hal ini adalah kerana, undang-undang meletakkan tanggungjawab kepada pembekal untuk memastikan bahawa produk yang dibekalkan itu adalah halal seperti mana yang dinyatakan. Pada masa ini, undang-undang yang mengawal selia isu halal adalah terletak dibawah Akta Perihal Dagangan 2011 melalui Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. Walau bagaimanapun, Akta ini bersifat jenayah yang berfungsi untuk menghukum pesalah dan tidak memperuntukkan pampasan ganti rugi bagi mangsa produk logo halal palsu dan mengelirukan. Manakala, peruntukan di bawah undangundang sivil pula adalah tidak jelas dan ini menjadikan pengguna tidak dapat menuntut pampasan ganti rugi terhadap pembekal. Justeru, kajian ini bertujuan menganalisis liabiliti terhadap pembekal di bawah undang-undang sivil yang secara amnya merangkumi perlindungan kepada pengguna dalam kes representasi logo halal palsu dan mengelirukan. Dalam usaha untuk mencadangkan pembaharuan, kajian menyeluruh perlu dijalankan untuk melihat dari semua perspektif, termasuk analisis yang meliputi undang-undang kontrak, undang-undang tort dan Akta Perlindungan Pengguna 1999. Kajian ini dilaksanakan melalui kaedah kajian kualitatif dengan mengguna pakai pendekatan perbandingan dan pendekatan analitikal dan kritis. Pendekatan perbandingan dengan beberapa negara terpilih, iaitu Australia dan United Kingdom berupaya menonjol kekurangan dan kelebihan undang-undang liabiliti sivil terhadap pembekal ke atas representasi logo halal palsu dan mengelirukan. Manakala pendekatan analitikal dan kritis pula diguna pakai untuk menganalisis dan mengkritik peruntukan sedia ada berdasarkan perkembangan pada beberapa negara terpilih. Hasil kajian mendapati bahawa undang-undang kontrak, undang-undang tort dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 tidak mencukupi untuk menangani isu liabiliti sivil pembekal. Oleh itu, pada akhir kajian ini, penyelidik telah menggariskan beberapa cadangan untuk pindaan Akta Perlindungan Pengguna 1999 sebagai mekanisme penyelesaian kepada isu representasi logo halal palsu dan mengelirukan. Implikasi daripada hasil kajian ini akan membantu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam menambah baik undang-undang perlindungan pengguna di Malaysia supaya berkembang seiring dengan industri halal.


Download File

[img] Text
IPPH 2018 6 ir.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Liability (Law)
Subject: Food - Religious aspects - Islam
Call Number: IPPH 2018 6
Chairman Supervisor: Elistina Binti Abu Bakar, PhD
Divisions: Halal Products Research Institute
Depositing User: Mas Norain Hashim
Date Deposited: 30 Jun 2020 01:11
Last Modified: 14 Jan 2022 08:25
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/79175
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item