Citation
Razali, Siti Hajar
(2018)
Faktor yang mempengaruhi niat menghisap vape dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Lembah Klang, Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini dijalankan bagi mengenalpasti hubungan antara sikap, tahap pengetahuan, pengaruh persekitaran, persepsi kawalan tingkah laku dengan niat menghisap vape. Selain itu, kajian juga mencari faktor peramal yang signifikan terhadap niat menghisap vape dalam kalangan pelajar dan mengkaji fungsi moderator pada elemen jantina dan umur. Pendekatan yang digunakan dalam kajian ini adalah kuantitatif dengan kaedah survei. Kajian ini merupakan kajian korelasi yang melibatkan 400 respon daripada 10 buah sekolah menengah harian di Lembah Klang yang dipilih secara rawak. Terdapat 5 instrumen yang digunakan dalam kajian ini iaitu Attitude Towards Cigarette Smoking Scale, Knowledge About Cigarette Smoking Scale, Sweeden Health and Society Survey, Itemized Perceived Behavioral Control Statements dan Reason for First Use Scale. Analisis kajian mendapati bahawa lebih separuh responden berada di tahap sederhana bagi sikap terhadap vape, tahap pengetahuan tentang vape, pengaruh persekitaran berkaitan vape dan persepsi kawalan tingkah laku menghisap vape. Namun, pelajar yang berniat menghisap vape memilih faktor ingin mencuba sebagai faktor utama. Pelajar yang bersikap positif terhadap vape pula didapati percaya vape adalah lebih selamat dan baik. Manakala tahap pengetahuan pelajar tentang fakta kandungan dan kesan vape masih rendah. Pelajar paling terdedah kepada iklan vape melalui media sosial dan pameran jualan serta perbuatan menghisap vape di dalam pengankutan awam dan stesen bas. Aspek akses kepada vape dan mengawal diri daripada menyalahgunakan vape merupakan faktor utama bagi mereka yang mempunyai persespsi kawalan tingkah laku menghisap vape yang tinggi. Selain itu, terdapat perbezaan mengikut jantina dan umur pada kesemua elemen kajian. Pelajar lelaki dan menengah bawah lebih cenderung mempunyai niat menghisap vape. Sikap positif terhadap vape juga tinggi dalam kalangan pelajar lelaki. Sebaliknya, pelajar perempuan dan menengah atas lebih berpengetahuan tentang vape. Pelajar menengah atas pula mempunyai tahap pengaruh persekitaran dan persepsi kawalan tingkah laku yang lebih tinggi. Dalam pada itu, kesemua elemen kajian mempunyai hubungan positif dengan niat menghisap vape kecuali pada tahap pengetahuan. Analisis faktor peramal terhadap niat menghisap vape pula mendapati pelajar yang bersikap positif terhadap vape, berpengetahuan rendah tentang vape dan lelaki diramalkan mempunyai niat emnghisap vape yang tinggi. Manakala hanya jantina dikesan sebagai moderator pada hubungan pengaruh persekitaran berkaitan vape dengan niat menghisap vape. Kajian telah mengenalpasti beberapa implikasi dan mengemukakan beberapa cadangan untuk penambahbaikan di masa akan datang.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |