UPM Institutional Repository

Kesan komitmen afektif terhadap hubungan faktor sosial dan faktor individu dengan persepsi tingkah laku penglibatan aktif anggota lembaga dalam tadbir urus koperasi


Citation

Abd Kadir, Romaizah (2018) Kesan komitmen afektif terhadap hubungan faktor sosial dan faktor individu dengan persepsi tingkah laku penglibatan aktif anggota lembaga dalam tadbir urus koperasi. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Tingkah laku penglibatan aktif anggota lembaga penting dalam memastikan keperluan bersama ahli dapat dipenuhi seterusnya menjayakan misi dan visi koperasi. Tingkah laku penglibatan aktif anggota lembaga diperlukan dalam proses lembaga membuat keputusan bagi mencapai matlamat kolektif. Kajian ini telah menggunakan Teori Kognitif Sosial yang disokong dengan Teori Penentuan Kendiri dan Teori Identiti Sosial untuk menerangkan fenomena tingkah laku penglibatan aktif anggota lembaga. Objektif utama kajian ini adalah untuk menentukan kesan komitmen afektif dalam hubungan antara rangkaian sosial, norma sosial, kepercayaan dan motivasi dengan tingkah laku penglibatan aktif anggota lembaga yang mentadbir urus koperasi di Malaysia. Analisis yang dijalankan bertujuan untuk menentukan tahap dan hubungan setiap pemboleh ubah, dan seterusnya menentukan kesan komitmen afektif sama ada berperanan sebagai faktor pengantara atau penyederhana. Kajian ini menggunakan rekabentuk deskriptif dan korelasi. Sebanyak 404 anggota lembaga koperasi dipilih sebagai responden. Hasil kajian menunjukkan tingkah laku penglibatan aktif anggota lembaga berada pada tahap yang tinggi iaitu pada kadar peratusan 81.4% dengan skor min 5.8246. Demikian juga 76.2% responden menunjukan tahap yang tinggi bagi rangkaian sosial dengan skor min 5.6520, norma sosial (74%) dengan skor min 5.7686, kepercayaan (77.7%) dengan skor min 5.8447 dan motivasi (84.9%) dengan skor min 5.8144. Hasil analisis menggunakan Permodelan Persamaan Berstruktur (SEM) mendapati, model pengukuran mencapai indeks kesepadanan (GOF). Nilai CFI, IFI dan TLI melebihi tahap penerimaan yang diperlukan iaitu >.90; dengan nilai Relative Chisquare = 2.614, CFI= .936, IFI=.936, TLI=.928 dan RMSEA= .063. Model struktural yang diterima dan diguna pakai dalam kajian ini adalah model kesan penyederhana. Berdasarkan analisis, kajian ini mendapati bahawa model penyederhana diterima dan digunakan untuk menguji hipotesis kajian. Model struktural kesan penyederhana menunjukkan kesepadanan indeks dan memenuhi GOF dengan nilai Chi-Square = 2.237, CFI = .915, IFI=.915, TLI = .913 dan RMSEA = .039. Perbandingan antara model yang dikekang dan yang tidak dikekang menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan dalam kehadiran komitmen afektif sebagai penyederhana. Ujian hubungan antara faktor pemboleh ubah bebas dan pemboleh ubah bersandar menunjukkan wujudnya hubungan positif dan signifikan di antara rangkaian sosial (β = .29, p = .000), norma sosial (β = .19, p = .000), kepercayaan (β = -.06, p = .23), dan motivasi (β = .371, p = .000) dengan tingkah laku penglibatan aktif anggota lembaga. Namun kajian ini mendapati tidak wujud hubungan yang signifikan di antara kepercayaan (β = -.06, p = .23) dan komitmen afektif (β = .109, p = .076) dengan tingkah laku penglibatan aktif. Analisis ke atas model penyederhana mendapati wujudnya kesan penyederhana komitmen afektif terhadap hubungan di antara rangkaian sosial, norma sosial dan motivasi. Namun begitu, komitmen afektif tidak menyederhanakan hubungan di antara kepercayaan dengan tingkah laku penglibatan aktif anggota lembaga koperasi. Dapatan kajian ini telah memberi implikasi kepada teori dan amalan. Pengukuhan identiti sosial dapat meningkatkan penglibatan aktif disebabkan ikatan perasaan yang kuat atau komitmen afektif anggota lembaga terhadap koperasi. Apabila anggota lembaga mempunyai rasa keempunyaan terhadap koperasi dan menganggap koperasi sebahagian daripada dirinya, faktor-faktor lain menjadi kurang berpengaruh dan tidak mudah menggugat penglibatan aktif anggota lembaga. Walau bagaimanapun, penting bagi koperasi mewujudkan persekitaran sosial yang kondusif dan mendorong motivasi anggota kerana ia merupakan elemen penting dalam pembangunan sumber manusia. Justeru itu beberapa program dicadangkan bagi mewujudkan ruang interaksi formal di peringkat nasional dan antarabangsa melibatkan anggota lembaga koperasi. Cadangan untuk kajian masa hadapan juga telah dibincangkan dalam kajian ini.


Download File

[img] Text
FPP 2019 17 ir.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Comparative government - Case studies. - Malaysia
Subject: Interpersonal relations
Subject: Group identity
Call Number: FPP 2019 17
Chairman Supervisor: Profesor Madya Khairuddin bin Idris, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Editor
Date Deposited: 28 Apr 2020 03:23
Last Modified: 26 Jan 2022 08:14
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/77558
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item