Citation
Che Nawi, Nur Raihan
(2018)
Meneroka pengalaman keterlibatan belia dalam kerjaya usahawan sosial di Lembah Klang, Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kerjaya sebagai usahawan sosial telah menarik kalangan belia untuk menceburi dalam
bidang aktiviti keusahawanan sosial yang agak baru di Malaysia. Usahawan sosial
mempunyai dua peranan yang besar dalam mengalas kerjaya yang berisiko ini.
Dimana usahawan sosial perlu menjalankan aktiviti perniagaan untuk mendapatkan
profit untuk digunakan mengatasi masalah sosial dan pada masa yang sama juga,
usahawan sosial perlu menyelesaikan masalah sosial dengan menggunakan medium
organisasi yang dipanggil perusahaan sosial. Walau bagaimanapun, aktiviti
keusahawanan sosial di Malaysia masih lagi pada tahap permulaan, akan tetapi
terdapat perkembangan yang positif penglibatan kalangan belia yang memilih kerjaya
sebagai usahawan sosial. Oleh yang demikian, kajian ini dijalankan untuk meneroka
pengalaman keterlibatan belia dalam kerjaya usahawan sosial dalam konteks
Malaysia, supaya pengalaman tersebut tidak hanya berada pada diri usahawan sosial
sahaja. Kajian ini mempunyai empat persoalan kajian iaitu, 1) Apakah proses dalam
membangunkan kerjaya sebagai usahawan sosial belia?; 2) Mengapa kerjaya sebagai
usahawan sosial menarik minat belia?; 3) Bagaimana usahawan sosial belia
membangunkan kerjaya mereka?; dan 4) Apakah cabaran yang dihadapi sebagai
usahawan sosial belia?
Kajian ini dijalankan menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif, iaitu lebih
spesifiknya menggunakan pendekatan naratif dalam meneroka pengalaman
keterlibatan belia dalam kerjaya usahawan sosial. Sejumlah lapan orang usahawan
sosial belia telah terlibat dalam kajian ini setelah mencapai titik tepu. Kaedah
pengumpulan data yang digunakan adalah menerusi pemerhatian oleh pengkaji, sesi
temu bual semi berstruktur dan analisis dokumen. Seterusnya, data yang diperoleh
telah dianalisis dengan menggunakan teknik constant comparative iaitu analisis data sehingga mencapai titik ketepuan dalam pembentukan kod, kategori dan tema telah
dilakukan bagi menjawab setiap persoalan kajian.
Dapatan kajian mendapati terdapat enam laluan untuk menjadi usahawan sosial, iaitu
melalui 1) program latihan, 2) pertandingan geran, 3) sokongan organisasi bukan
kerajaan (NGO), 4) sokongan keluarga, 5) sokongan rakan dan 6) sokongan majikan.
Kajian ini juga mendapati kecenderungan belia menceburi bidang aktiviti
keusahawanan sosial disebabkan mereka 1) memperoleh motivasi dari persekitaran,
2) memiliki minat dalam aktiviti keusahawanan sosial dan 3) juga keinginan tinggi
untuk membantu komuniti. Walaupun usahawan sosial belia ini terdiri daripada latar
belakang yang pelbagai, mereka telah berjaya membangunkan kerjaya mereka sebagai
usahawan sosial. Proses pembangunan kerjaya sebagai usahawan sosial dapat
dipecahkan kepada lima tema iaitu, 1) mengukuhkan jaringan sosial melalui aktiviti
keusahawanan sosial, 2) mendapatkan informasi yang berkaitan dengan aktiviti
keusahawanan sosial, 3) menggunakan pengalaman kerjaya yang dimiliki, 4)
mendapat galakan yang berterusan untuk memulakan aktiviti keusahawanan sosial dan
5) membentuk karakter sebagai usahawan sosial. Kelima – lima elemen ini dilihat
membantu usahawan sosial belia ini dalam memperkembang kerjaya mereka. Semasa
melaksanakan aktiviti keusahawanan sosial dan juga memperkembang kerjaya mereka
sebagai usahawan sosial, mereka turut menghadapi pelbagai cabaran. Antara cabaran
yang dihadapi oleh usahawan sosial dalam kalangan belia ini adalah 1) peralihan
kerjaya untuk menjadi usahawan sosial, 2) halangan untuk memulakan aktiviti
keusahawanan sosial, 3) kesukaran memampankan perusahaan sosial, dan 4)
kelemahan dalam kerja berkumpulan.
Dapatan kajian ini dapat membantu pihak – pihak dan agensi – agensi berkepentingan
dalam memperkasakan aktiviti keusahawanan sosial di Malaysia. Implikasi daripada
kajian ini juga diharap dapat membantu dalam memberi panduan dan inspirasi kepada
individu yang mempunyai minat dalam bidang ini. Secara tidak langsung, kajian ini
dapat membantu bakal – bakal usahawan sosial dari segi membuat persiapan dalam
memperlengkapkan diri dengan elemen – elemen yang diperlukan sebelum membuat
keputusan dalam pemilihan kerjaya sebagai usahawan sosial.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |