Citation
Zainol Abidin, Zamzuri
(2017)
Tahap kekuatan mental berdasarkan sekolah, umur dan posisi dalam kalangan pemain bola sepak di Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kekuatan mental merupakan faktor yang penting dalam menentukan kemenangan sesebuah pasukan dalam pertandingan. Menurut Gouldsmith (2006), 90% kemenangan sesebuah pasukan dipengaruhi oleh aspek kekuatan mental. Justeru itu, kajian ini bertujuan untuk menentukan tahap kekuatan mental pemain bola sepak yang bersekolah di Sekolah Sukan Malaysia. Selain itu, kajian ini juga dijalankan untuk menentukan tahap kekuatan mental antara posisi pemain dan membandingkan kekuatan mental di antara sekolah sukan yang berlainan. Responden kajian terdiri daripada semua pemain bola sepak yang menuntut di Sekolah Sukan Malaysia (n=218). Kajian yang dijalankan ini adalah berbentuk tinjauan dengan menggunakan instrumen kekuatan mental Sport Mental Toughness Questionnaire yang dihasilkan oleh Sheard, Golby, & van Wersch, (2009). Soal Selidik ini meliputi faktor keyakinan, kesabaran dan kawalan. Statistik deskriptif iaitu frekuensi, peratusan, min dan sisihan piawai digunakan untuk menganalisis kekuatan mental dalam kalangan pemain bola sepak ini. Manakala, MANOVA dan Post Hoc Tukey’s digunakan untuk membandingkan tahap kekuatan mental berdasarkan kumpulan umur dan posisi pemain antara Sekolah Sukan Malaysia. Pecahan pemain mengikut kumpulan umur adalah seperti berikut, terdapat 46 orang pemain berumur 13 tahun, 44 orang berumur 14 tahun, 38 orang berumur 15 tahun, 39 orang berumur 16 tahun dan 51 orang berumur 17 tahun. Manakala pecahan pemain berdasarkan posisi meliputi posisi penjaga gol 23 orang pemain, pertahanan 83 orang pemain, tengah 60 orang pemain dan penyerang 52 orang pemain. Berdasarkan dapatan kajian, analisis deskriptif menunjukkan tahap kekuatan mental pemain bola sepak Sekolah Sukan Malaysia masih berada pada tahap sederhana dengan nilai skor min 2.47(SP=0.59). Selain itu, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) menunjukkan tahap kekuatan mental yang lebih baik (M=2.60, SP=0.50) berbanding Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) (M=2.20, SP=0.40), dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) (M=2.54, SP=0.52). Kekuatan mental berdasarkan kumpulan umur, menunjukkan pemain berumur 13 tahun memperoleh skor nilai min yang tinggi iaitu 2.74(SP=0.44) jika dibandingkan dengan kumpulan umur yang lain. Manakala bagi tahap kekuatan mental berdasarkan posisi pula, posisi penjaga gol mencatatkan nilai skor min rendah iaitu 2.43(SP=0.11) berbanding pertahanan (M=2.44, SP=0.50), tengah (M=2.56, SP=0.49) dan penyerang (M=2.44, SP=0.54). Dapatan analisis MANOVA menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan [F(2,215)=9.77,p<0.050, eta squared =0.083] bagi tahap kekuatan mental pemain bola sepak berdasarkan Sekolah Sukan Malaysia yang berbeza. Dapatan juga menunjukkan perbezaan yang signifikan [F(4,213)=6.60,p<0.050,eta squared =0.110] bagi tahap kekuatan mental berdasarkan kumpulan umur. Walau bagaimana pun, analisis MANOVA menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan bagi tahap kekuatan mental pemain bola sepak Sekolah Sukan Malaysia berdasarkan posisi [F(3,214)=0.85,p=0.466>0.050,eta squared =0.012]. Justeru itu, pihak yang terlibat dalam pembangunan sukan bola sepak Malaysia perlu berusaha dengan lebih gigih lagi untuk meningkatkan tahap kekuatan mental pemain bola sepak Sekolah Sukan Malaysia, kerana pemain ini merupakan pelapis kepada pemain bola sepak senior negeri dan kebangsaan. Kesimpulannya kekuatan mental memainkan peranan penting bagi memastikan kemenangan sesebuah pasukan di dalam perlawanan.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |