Citation
Ettikan, Kalaiselvi
(2017)
Hubungan kualiti guru berpengalaman Pendidikan Moral dengan amalan nilai murni murid.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji hubungan kualiti guru berpengalaman Pendidikan Moral dengan amalan nilai murni murid Tingkatan Empat. Kepakaran dan karakter merupakan dua aspek kualiti guru berpengalaman Pendidikan Moral yang dikaji. Kajian ini menggunakan soal selidik dan temu bual semi-struktur untuk mendapatkan data kajian daripada responden. Item-item dibina berdasarkan teori pengetahuan asas guru, teori sekolah dan perkembangan moral, teori pembelajaran sosial, model kepakaran guru dan model pengajaran dan pembelajaran. Kajian rintis telah dilaksanakan ke atas 30 orang murid yang diajar oleh guru-guru yang berpengalaman dalam bidang Pendidikan Moral. Nilai pekali kebolehpercayaan Cronbach Alpha bagi soal selidik yang dibina adalah 0.96. Kesahan muka dan kandungan bagi soal selidik telah diperolehi melalui pakar dalam bidang Pendidikan Moral, pakar dalam pengajaran dan pembelajaran dan pakar bahasa. Seramai 343 murid telah dipilih secara rawak sebagai responden daripada jumlah populasi 2626 murid. Di samping itu, temu bual semi berstruktur turut dijalankan terhadap sembilan orang murid untuk menentukan corak hubungan kualiti guru berpengalaman Pendidikan Moral dengan amalan nilai murni murid. Terdapat kekurangan dalam beberapa aspek kepakaran dan karakter guru. Walaupun dapatan kajian menunjukkan domain pemikiran moral murid berada pada tahap tinggi, tetapi guru kurang menekankan domain perasaan moral dan tingkah laku moral dalam pengajaran dan pembelajarannya. Analisis korelasi Spearman menunjukkan terdapat hubungan positif yang kuat dan signifikan antara kualiti guru berpengalaman Pendidikan Moral dengan amalan nilai murni murid. Analisis data kualitatif menunjukkan ciri-ciri dan tindakan guru berpengalaman Pendidikan Moral mempengaruhi amalan nilai murni murid dengan cara tertentu. Perbincangan hasil dapatan kajian menunjukkan, guru berpengalaman Pendidikan Moral patut mengikuti program pembangunan profesional berterusan untuk meningkatkan lagi kualiti guru yang sedia ada. Dengan ini pembentukan murid yang mengamalkan nilai murni dapat dipertingkatkan.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |