Citation
Mohd Nor, Nik Muhamad Adnan
(2016)
Pendidikan pengembangan dan amalan penternak lembu pedaging dalam program kawasan tumpuan sasaran di Semenanjung Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Objektif umum kajian ini adalah untuk menentukan tahap pendidikan pengembangan
dan amalan penternak lembu pedaging dalam program kawasan tumpuan sasaran
(KTS) di Semenanjung Malaysia. Manakala objektif khusus adalah menentukan tahap
pengetahuan responden terhadap pendidikan pengembangan di bawah Program KTS,
menentukan tahap penglibatan responden di dalam pendidikan pengembangan
Program KTS dan menentukan tahap kesan pendidikan pengembangan terhadap
responden di bawah Program KTS. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif iaitu
borang soal selidik sebagai instrumen utama untuk mengumpulkan data di empat zon
iaitu Zon Utara, Zon Selatan, Zon Timur dan Zon Barat di Semenanjung Malaysia.
Sampel keseluruhan kajian ialah berjumlah 187 responden. Kajian ini mendapati tahap
pengetahuan responden adalah tinggi. Namun demikian, pihak Jabatan Perkhidmatan
Veterinar (JPV) perlu mempergiatkan lagi usaha memberi pendidikan dan pengetahuan
mengenai program KTS ini kepada setiap penternak agar sesuatu teknologi dan
kepakaran dapat diterima dengan baik oleh setiap penternak. Kajian ini turut
menyentuh mengenai tahap penglibatan responden dalam di Program KTS. Dapatan
kajian menunjukkan tahap penglibatan adalah tinggi. Penglibatan antara kedua-dua
pihak antara JPV dan penternak melalui aktiviti pengembangan mampu mewujudkan
perhubungan erat dan membantu melakukan kerja-kerja secara sistematik. Kesan
pendidikan pengembangan terhadap amalan ladang didapati sederhana dalam kajian
ini. Pemindahan teknologi dan maklumat yang mutakhir oleh JPV melalui aktiviti
pendidikan pengembangan akan membantu penternak menyelesaikan masalah
ternakan dan memperkenalkan kaedah untuk meningkatkan pulangan pendapatan
melalui penggunaan sumber secara optimum. Keputusan analisis korelasi
menunjukkan tahap pengetahuan, tahap penglibatan, dan umur responden tidak
menunjukkan perkaitan yang kuat dengan kesan pendidikan pengembangan terhadap
responden. Kesimpulannya, nilai keseluruhan tahap kesan pendidikan pengembangan
yang dialami penternak lembu pedaging dalam program KTS menunjukkan
penerimaan yang sederhana. Penemuan dalam kajian ini telah membawa kepada
beberapa saranan dan cadangan yang diharap dapat membantu meningkatkan
keberkesanan program ini sekaligus membantu meningkatkan pengeluaran daging
negara.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |