Citation
Muryono, Endang Juliarti
(2016)
Faktor yang mempengaruhi amalan beretika dalam kalangan peniaga bazar larut malam di Lembah Kelang, Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Amalan beretika merupakan salah satu aspek penting dalam sesebuah perniagaan. Jika tahap amalan etika dalam kalangan peniaga berada di tahap yang terbaik, maka hak serta kepentingan pengguna bukan sahaja terpelihara bahkan taraf hidup pengguna akan menjadi lebih baik. Namun demikian, pembangunan ekonomi yang pesat menyebabkan perniagaan menjadi lebih kompleks serta mewujudkan persaingan sengit dalam kalangan peniaga. Justeru, terdapat sebilangan peniaga yang melakukan amalan yang tidak beretika seperti menjual barangan tiruan. Kajian bertujuan mengenalpasti amalan beretika dalam kalangan peniaga bazar larut malam di Lembah
Kelang.Di samping itu, kajian ini juga turut menentukan faktor-faktor yang mempengaruhi amalan beretika berdasarkan faktor pengetahuan terhadap undangundang cap dagangan dan etika perniagaan, persepsi terhadap penguatkuasaan,ideologi moral (idealisme dan relativisme) dan nilai terhadap matlamat perniagaan.Seramai 400 orang responden yang terdiri daripada peniaga bazar larut malam disekitar Lembah Kelang terlibat dalam kajian ini. Data dikumpul dengan mengunakan borang soal selidik dan sampel dipilih menggunakan kaedah persampelan rawak sistematik. Analisis data dibahagikan kepada analisis deskriptif dan inferensi. Hasil kajian mendapati jumlah responden lelaki (69.5%) mengatasi responden wanita(30.5%). Majoriti responden adalah berbangsa Melayu (96.8%) dengan purata umur 30 tahun. Kebanyakan responden menerima pendidikan sehingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (39.5%) dan mempunyai pengalaman sebagai peniaga selama 5 tahun dan ke atas (41.5%) dengan pendapatan di antara RM2001-RM3000 (25.0%).Kebanyakan responden juga merupakan peniaga sepenuh masa (66.0%) dan berniaga pakaian (49.3%).Hasil kajian mendapati tahap pengetahuan terhadap undang-undang cap dagangan dan etika perniagaan adalah tinggi manakala tahap persepsi respondan terhadap penguatkuasaan adalah sederhana. Responden kajian ini juga didapati mempunyai nilai terhadap matlamat perniagaan yang tinggi dan dalam masa yang sama mempunyai kecenderungan terhadap nilai kepimpinan. Dapatan juga menunjukkan responden cenderung kepada dimensi idealisme berbanding dengan dimensi relativisme. Hasil ujian regresi pelbagai menunjukkan terdapat tiga pemboleh ubah peramal bagi amalan beretika dalam kalangan peniaga. Ketiga-tiga pembolehubah ini menyumbang sebanyak 52.6 peratus kepada model. Pemboleh ubah idealisme merupakan faktor peramal utama yang menyumbang kepada amalan beretika.Implikasi kajian adalah penting kepada kerajaan, persatuan peniaga, peniaga dan
pengguna. Pihak industri, khususnya persatuan yang mewakili peniaga bazar larut malam perlu mewujudkan kod etika mereka sendiri sebagai panduan untuk bertingkahlaku dalam industri ini supaya kedua-dua pihak pengguna dan peniaga mendapat kebaikan bersama. Bagi pihak kerajaan, khususnya agensi penguatkuasaan perlu lebih aktif dalam melaksanakan program pendidikan bagi menambah pengetahuan peniaga terhadap undang-undang dan peraturan yang berkaitan. Dari sudut pengguna pula, perkongsian dapatan kajian boleh dijadikan sebagai bahan rujukan dan panduan kepada pengguna untuk lebih berwaspada dengan peniaga yang tidak beretika serta lebih menyedari akan hak-hak sebagai pengguna.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |