Citation
Jaafar, Nur Hidayu
(2015)
Refleksi animasi Upin dan Ipin dalam ujaran kanak-kanak.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini membincangkan refleksi ujaran kanak-kanak yang dipengaruhi oleh penggunaan alat multimedia, iaitu DVD filem animasi Upin dan Ipin yang bertajuk “Geng Pengembaraan Bermula”. Kajian ini bertujuan mengenal pasti refleksi ujaran kanak-kanak yang dianalisis mengikut teori Brown & Yule (1983) dan membincangakan refleksi ujaran yang dihasilkan oleh kanak-kanak selepas menonton filem animasi Upin dan Ipin serta menganalisis setiap ujaran yang dihasilkan oleh pelajar berteraskan teori Brown & Yule (1983). Sampel kajian terdiri daripada pelajar tahun tiga daripada pelajar sekolah rendah di Putrajaya. Seramai 21 orang pelajar diambil sebagai sampel. Pemilihan sampel dibuat secara kouta. Dalam kajian ini, DVD Filem Animasi Upin dan Ipin digunakan sebagai alat rangsangan supaya kanak-kanak menghasilkan ujaran dalam perbualan mereka.Filem animasi Upin dan Ipin akan ditayangkan kepada pelajar dan seterusnya perbualan yang dilakukan oleh setiap pelajar akan dirakam. Kaedah pemerhatian yang digunakan adalah untuk melihat reaksi kanak-kanak dalam usaha mengujarkan sesuatu bagi menyampaikan kefahaman masing-masing berdasarkan animasi Upin dan Ipin terbitan Les Copaque Sdn Bhd. Pada masa yang sama, pelajar akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan, setiap satunya terdiri daripada empat hingga lima orang untuk berkomunikasi antara mereka bagi menghasilkan ujaran yang dikehendaki dan mereka juga akan ditemu bual berkaitan dengan jalan cerita yang terkandung dalam filem animasi Upin dan Ipin. Perbualan kanak-kanak dirakamkan dan dianalisis menggunakan Teori Brown & Yule (1983) berdasarkan prinsip yang digariskan oleh Brown & Yule (1983) dalam penganalisisan wacana lisan. Data yang diperoleh dianalisis dengan mengklasifikasikan setiap ujaran mengikut prinsip ujaran tertentu. Analisis membuktikan bahawa ujaran kanak-kanak mempunyai pelbagai makna dan mematuhi prinsip ujaran yang tertentu. Selain itu, kanak-kanak berupaya menghakis rasa malu dan rendah diri untuk menghasilkan ujaran. Kajian turut memperlihatkan bahawa penggunaan animasi merupakan salah satu cara untuk melatih kanak-kanak untuk berbicara dengan yakin. Perkara ini terbukti apabila kanak-kanak mampu menyampaikan pendapat, isi hati, informasi dan menceritakan kembali jalan cerita animasi yang mereka tonton sekaligus menunjukan daya ingatan mereka terhadap sesuatu cerita yang dilihat adalah memberangsangkan. Tuntasnya, kanak-kanak berupaya menghasilkan ujaran dengan yakin apabila wadah yang digunakan untuk merangsang mereka bercakap adalah dengan cara yang betul.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |