Citation
Harun, Azhar
(2016)
Hubungan kepemimpinan distributif pengetua dan kepemimpinan guru di sekolah menengan Zon Timur Semenanjung Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kementerian Pendidikan Malaysia berhasrat untuk menempatkan pemimpin berprestasi tinggi di setiap sekolah di Malaysia. Namun cabaran dan bebanan tugas yang dihadapi pemimpin pendidikan di peringkat sekolah kini menyebabkan mereka tidak mampu memimpin secara bersendirian. Perkongsian kepemimpinan dengan guru adalah satu bentuk baru kepemimpinan yang perlu diterokai. Langkah kehadapan yang dilaksanakan oleh KPM, iaitu berganjak kepada kepemimpinan distributif seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Objektif utama kajian ini dijalankan adalah untuk mengenalpasti hubungan antara kepemimpinan distributif pengetua dan kepemimpinan guru; dan seterusnya, mengenal pasti peramal utama kepemimpinan guru. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan melalui instrumen yang mengabungkan dua soal seldik iaitu Distributed Leadership Readiness Scale (DLRS) yang dibangunkan oleh Elmore (2000) seterusnya diubahsuai oleh Gordon (2005) dan Teacher Leadership School Survey (TLSS) oleh Katzenmeyer dan Moller (2001). Responden kajian terdiri daripada 400 responden dalam kalangan guru sekolah menengah di zon timur Semenanjung Malaysia. Dapatan kajian menunjukkan kepemimpinan distributif pengetua dan kepemimpinan guru di sekolah menengah adalah berada pada tahap yang tinggi. Berdasarkan faktor demografi, guru pasca siswazah mempunyai persepsi yang lebih tinggi dan signifikan terhadap kepimpinan distributif pengetua berbanding guru siswazah. Seterusnya faktor tempoh perkhidmatan dan tempoh berkhidmat di sekolah semasa juga yang menunjukkan perbezaan yang signifikan terhadap kedua-dua kepemimpinan tersebut. Seterusnya keputusan menunjukkan bahawa kepemimpinan disributif mempunyai hubungan signifikan positif yang kuat dengan kepemimpinan guru. Ini menunjukkan semakin tinggi tahap kepemimpinan distributif maka semakin tinggi tahap kepemimpinan guru. Didapati dimensi perkongsian tanggungjawab merupakan peramal utama kepada kepemimpinan guru. Justeru, hasil kajian ini menunjukkan bahawa semakin tinggi amalan perkongsian tanggungjawab semakin tinggi perkongsian kepemimpinan dapat dilaksanakan.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |