Citation
Abdullah, Nur Hayati Christina
(2005)
Adaptasi Pembelajaran Bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi Swasta.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini merupakan suatu penilaian terhadap pembelajaran bahasa
Melayu di institusi pengajian tinggi swasta berdasarkan Model Penilaian
CIPP yang diperkenalkan oleh Stufflebeam. Tujuan utama kajian ini
adalah untuk menganalisis persepsi pelajar tentang pembelajaran
bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi swasta, khususnya dari segi
objektif, isi kandungan, bahan pengajaran, tenaga pengajar, kaedah
pengajaran, dan kaedah penilaian. Kajian dijalankan di salah sebuah
institusi pengajian tinggi swasta di Melaka, iaitu Kolej Yayasan
Melaka(KYM). Sampel kajian terdiri daripada 250 pelajar KYM yang telah
mengikuti kursus bahasa Melayu pada semester Jun 2002/2003. Data
dikumpul melalui borang soal selidik dan dianalisis dengan kaedah
statistik deskriptif seperti kekerapan, peratus, min, dan sisihan piawai.
Hasil kajian mendapati bahawa hanya dua kursus bahasa Melayu
ditawarkan di KYM, iaitu Bahasa Melayu Pengurusan dan Bahasa
Kebangsaan. Secara amnya, dapatan menunjukkan bahawa pelajar
mempunyai persepsi yang positif tentang pembelajaran bahasa Melayu
di KYM. Kedua-dua kursus bahasa Melayu yang dinilai menunjukkan
kekuatan dari keempat-empat dimensi yang dikaji. Walau
bagaimanapun, hasil kajian turut menemukan beberapa kelemahan,
iaitu dari dimensi input dan proses. Dari dimensi input, terdapat
beberapa topik yang mendapat persetujuan yang rendah, dan pelajar
didapati masih bergantung kepada pensyarah untuk mendapat bahan
pembelajaran. Dari dimensi proses pula, hasil kajian mendapati bahawa
kaedah pengajaran kuliah dalam kumpulan besar tidak digemari oleh
pelajar. Kepincangan turut ditemui dari segi keberkesanan penggunaan
alat bantu mengajar dan keupayaan tenaga pengajar menimbulkan
minat terhadap kursus bahasa. Walaupun kursus bahasa Melayu di
KYM menunjukkan beberapa kelemahan, kursus terlibat tidak perlu
dimansuhkan kerana pada keseluruhannya, kekuatan kursus melebihi
kelemahan. Tegasnya, pelaksanaan kursus bahasa Melayu perlu
diteruskan tetapi dengan beberapa pengubahsuaian untuk
meningkatkan mutu pembelajaran bahasa Melayu.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |