UPM Institutional Repository

Faktor peramal terhadap kesediaan guru sekolah rendah kluster dalam melaksanakan pendidikan pintar cerdas di Malaysia


Citation

Mohd Rashid, Nirwana (2013) Faktor peramal terhadap kesediaan guru sekolah rendah kluster dalam melaksanakan pendidikan pintar cerdas di Malaysia. PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Murid pintar cerdas wajar diberikan peluang mengoptimumkan potensi diri sehingga mereka mampu memberikan sumbangan kepada negara. Namun kebanyakan murid pintar cerdas terpaksa mengikuti sistem pendidikan sedia ada walaupun hakikatnya mereka memerlukan perkhidmatan dan program pendidikan yang khas. Mutakhir ini kesedaran untuk membantu memenuhi keperluan pendidikan murid pintar cerdas semakin meningkat. Kajian lalu menunjukkan wujud masalah guru tidak dapat menyediakan pengajaran yang berbeza dan tidak tahu kaedah serta instrumen yang sesuai untuk mengenalpasti murid pintar cerdas. Ketidaksediaan guru ini dilihat boleh menjadi faktor kekangan terhadap usaha membantu dan mendidik murid pintar cerdas. Justeru itu, fokus kajian ini adalah mengenalpasti profil dan faktor peramal kepada kesediaan guru di sekolah rendah kluster untuk melaksanakan pendidikan pintar cerdas. Kesediaan guru sekolah rendah kluster untuk melaksanakan pendidikan pintar cerdas dikaji daripada segi tahap literasi, kompetensi, sikap dan motivasi intrinsik serta perbezaannya merentas demografi. Keempat-empat aspek ini juga dikaji sama ada dapat menjadi petunjuk kepada kesediaan guru. Kajian turut diperluas kepada melihat hubungan antara pemboleh ubah dan faktor yang menyumbang kepada kesediaan guru untuk melaksanakan pendidikan pintar cerdas. Bagi mencapai tujuan tersebut, rekabentuk tinjauan deskriptif yang melibatkan pendekatan kuantitatif telah digunakan. Lokasi kajian adalah 36 buah sekolah rendah kluster yang dipilih berasaskan kepada kemenjadian murid, kecemerlangan pencapaian dan meliputi semua jenis sekolah. Sampel kajian terdiri daripada 436 orang guru sekolah rendah kluster seluruh Malaysia. Instrumen kajian pula terdiri daripada satu set soalan ujian literasi tentang pintar cerdas dan satu set soal selidik yang merangkumi pemboleh ubah kajian yang lain. Data kuantitatif dianalisis menggunakan statistik deskriptif dan statistik inferensi seperti MANOVA,Korelasi Bivariat Pearson, Confirmatory Factor Analysis dan Regresi Berganda. Analisis berhubung profil kesediaan guru menunjukkan responden kajian mempunyai tahap literasi dan motivasi intrinsik yang tinggi serta mempamerkan sikap yang positif tetapi didapati belum cukup bersedia dan kompeten untuk melaksanakan pendidikan pintar cerdas. Hasil analisis MANOVA pula mendapati wujud perbezaan yang signifikan dalam keempatempat pembolehubah kesediaan mengikut jantina, etnik dan jenis sekolah. Walau bagaimanapun hasil Confirmatory Factor Analysis mengesahkan bahawa literasi, kompetensi, sikap dan motivasi intrinsik dapat menjadi petunjuk kepada kesediaan guru untuk melaksanakan pendidikan pintar cerdas. Daripada segi faktor peramal pula, responden didapati mempamerkan tahap efikasi, minat, keprihatinan dan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi yang tinggi tetapi rendah daripada segi pengalaman tentang pintar cerdas dan kursus peningkatan profesionalisme yang dihadiri. Dapatan kajian juga menunjukkan hanya faktor pengalaman tentang pintar cerdas, efikasi kendiri dan minat yang memberikan sumbangan terbesar serta signifikan kepada kesediaan responden melaksanakan pendidikan pintar cerdas. Dapatan kajian ini memberikan implikasi ke atas pengajaran dan pembelajaran murid pintar cerdas, latihan perguruan, latihan dalam perkhidmatan, pemilihan guru dan peranan guru menghadapi pendidikan pintar cerdas. Sehubungan sumbangan kajian ini memberikan informasi tentang profil kesediaan guru sekolah rendah terhadap pendidikan pintar cerdas, maka pelbagai bentuk latihan yang diperlukan oleh guru-guru untuk mendidik murid pintar cerdas boleh dirancang dan dilaksanakan.


Download File

[img]
Preview
PDF
FPP 2013 70R.pdf

Download (1MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (PhD)
Subject: Education, Elementary - Malaysia
Subject: Gifted children - Education
Call Number: FPP 2013 70
Chairman Supervisor: Profesor Madya Samsilah Roslan, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 18 Oct 2016 09:01
Last Modified: 18 Oct 2016 09:01
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/48764
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item