Citation
Ab Halim, Fazlinda
(2013)
Kemahiran kebolehgajian, estim kendiri dan efikasi kendiri pelajar teknikal dan vokasional yang bermasalah pendengaran di politeknik dan kolej komuniti, Malaysia. PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.
PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian kuantitatif berbentuk tinjauan ini bertujuan untuk mengenal pasti penguasaan kemahiran kebolehgajian, estim kendiri dan efikasi kendiri pelajar teknikal dan vokasional bermasalah pendengaran yang mengikuti program Sijil Kemahiran Khas di politeknik dan kolej komuniti. Tahap penerapan kemahiran kebolehgajian oleh pensyarah serta kemahiran kebolehgajian yang dianggap penting oleh majikan industri terhadap pelajar teknikal dan vokasional bermasalah pendengaran turut dikaji. Seramai 175 orang pelajar, 96 orang pensyarah dan 23 orang majikan industri terlibat dalam kajian ini. Terdapat tiga set soal selidik digunakan iaitu Secretary’s Commission on Achieving Necessary Skills (SCANS) bagi mengkaji kemahiran kebolehgajian,Rosenberg Self-Esteem Scale bagi mengkaji estim kendiri dan The General Self-Efficacy Scale (GSE) untuk mengkaji efikasi kendiri. Analisis statistik yang terlibat pula adalah seperti peratusan, pangkatan, skor min, ANOVA sehala, korelasi Pearson dan regresi pelbagai.
Hasil kajian menunjukkan kemahiran kebolehgajian dan estim kendiri pelajar berada pada tahap sederhana. Manakala efikasi kendiri pelajar berada pada tahap tinggi. Kajian
ini telah mengenal pasti bahawa terdapat perbezaan pada kemahiran kebolehgajian dan estim kendiri pelajar dari segi jantina dan kursus yang diikuti. Namun begitu tidak
terdapat sebarang perbezaan pada efikasi kendiri pelajar berdasarkan jantina, kursus yang diikuti dan juga pengalaman bekerja. Dapatan juga menunjukkan wujudnya
hubungan positif yang lemah pada estim kendiri dan hubungan positif yang kuat pada efikasi kendiri dengan kemahiran kebolehgajian mereka. Terdapat dua faktor yang meramal kemahiran kebolehgajian pelajar iaitu efikasi kendiri dan juga kursus yang diikuti pelajar. Kadar penerapan kemahiran kebolehgajian oleh pensyarah juga tinggi. Majikan industri pula meletakkan skor yang tinggi pada kemahiran kualiti peribadi,kemahiran asas dan kemahiran interpersonal yang menunjukkan bahawa kemahiran tersebut amat penting kepada pelajar teknikal dan vokasional bermasalah pendengaran
yang ingin bekerja.
Justeru, pelajar perlu melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang majikan perlukan agar dapat membantu pelajar untuk lebih bersedia memasuki alam pekerjaan. Para pelajar perlu meningkatkan ketrampilan diri dengan melibatkan diri dengan kegiatan kokurikulum, kursus-kursus pembinaan peribadi dan juga motivasi agar dapat meninggikan estim kendiri dan juga efikasi kendiri pelajar. Peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh pensyarah juga besar bagi memastikan matlamat ini tercapai. Oleh itu, pensyarah perlu lebih kreatif dalam menerapkan kemahiran ini dan menekankan
elemen-elemen kemahiran yang dikehendaki oleh majikan industri. Golongan berkeperluan khas ini boleh dibentuk agar menjadi aset yang boleh menyumbang kepada keperluan modal insan negara yang besar suatu masa nanti.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |