Citation
Suboh, Nadiah
(2013)
Aspek Bahasa Melayu dalam penulisan blog berdasarkan perisian pengukuran NEMD versi 2.0.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Bahasa, masyarakat dan Internet tidak dapat dipisahkan khususnya dalam era globalisasi yang memerlukan masyarakat berinteraksi dan bergantung sepenuhnya kepada medium elektronik. Penglibatan masyarakat dalam dunia maya telah membentuk pelbagai komuniti maya yang wujud atas dasar yang berbeza. Salah satu aktiviti kebahasaan yang wujud dalam dunia maya adalah penulisan blog yang semakin mendapat tempat dan menjadi alat perhubungan yang popular. Namun demikian, timbul persoalan tentang aspek-aspek bahasa yang bagaimanakah mampu menarik minat masyarakat maya untuk membacanya dan adakah aspek-aspek bahasa tersebut ditulis dengan menggunakan bahasa Melayu yang sempurna atau sebaliknya. Justeru, kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti penulisan blog terpilih yang turut diminati oleh responden yang terpilih dengan menggunakan Sistem Alat Pengukuran Keasyikan NEMD Versi 2.0. Kajian ini juga dapat membincangkan aspek-aspek bahasa yang terdapat di dalam penulisan blog tersebut. Dalam kajian ini, seramai 10 orang responden yang terdiri daripada penuntut Universiti Putra Malaysia telah dipilih sebagai sampel kajian. Data diperoleh melalui temu bual dan dianalisis menggunakan Perisian Pengukuran Keasyikan NEMD Versi 2.0. Model yang digunakan dalam kajian ini ialah NEMD MODEL (2004). Dapatan kajian mendapati penulisan blog yang menggunakan bahasa Melayu yang sempurna dan kurang menggunakan unsur bahasa kasar/ bahasa slanga, campur kod, alih kod dan singkatan adalah lebih diminati oleh responden berbanding blog-blog terpilih lain yang tidak menggunakan bahasa Melayu yang sempurna dan kerap menggunakan unsur-unsur negatif tersebut. Dapatan kajian menunjukkan tahap populariti sesebuah blog tidak menjamin tahap keasyikan yang maksimum dan didapati blog yang kurang popular dapat memberikan tahap keasyikan yang maksimum kerana menggunakan bahasa Melayu yang betul. Selain itu, kekerapan menggunakan unsur bahasa kasar/ bahasa slanga dan campur kod dalam penulisan blog didapati mengganggu tahap keasyikan responden. Keseluruhannya, dalam kajian ini, aspek bahasa yang terdapat dalam penulisan blog terpilih adalah bahasa Melayu yang sempurna dan kurang menggunakan unsur bahasa kasar/ bahasa slanga, campur kod, alih kod dan singkatan dalam penulisan lebih disukai oleh responden. Justeru, penulis blog harus mempraktikkan penggunaan bahasa Melayu yang sempurna dalam penulisan mereka kerana masyarakat maya khususnya pengguna bahasa Melayu lebih suka memilih blog-blog yang menerapkan penggunaan bahasa Melayu yang betul.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |