UPM Institutional Repository

Hubungan gaya kepimpinan dan amalan kepimpinan pengajaran pengetua dengan pencapaian akademik pelajar sekolah menengah


Citation

Raja Ismail, Raja Othman (2013) Hubungan gaya kepimpinan dan amalan kepimpinan pengajaran pengetua dengan pencapaian akademik pelajar sekolah menengah. PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Tujuan utama penyelidikan ini adalah untuk mengkaji gaya kepimpinan dan amalan kepimpinan pengajaran pengetua serta mengenal pasti hubungannya dengan pencapaian akademik pelajar di Sekolah Menengah yang dipilih dari Semenanjung Malaysia. Kajian ini juga untuk mengenal pasti sumbangan atau pengaruh pemboleh ubah-pemboleh ubah yang berkenaan (gaya kepimpinan pengetua dan amalan kepimpinan pengajaran pengetua dari aspek kurikulum, penyeliaan serta pengajaran dan pembelajaran) terhadap pencapaian akademik pelajar dalam lima mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Kajian ini menggunakan reka bentuk deskriptif-korelasi yang melibatkan responden pengetua (N = 32) dan guru kanan (N = 211) dari sekolah menengah kebangsaan harian yang terpilih. Kajian ini menggunakan dua instrumen, iaitu soal selidik gaya kepimpinan pengetua oleh Clark (2007) dan soal selidik amalan kepimpinan pengajaran yang diubah suai daripada Mahmood (1997). Nilai kebolehpercayaan Cronbach’s Alpha bagi pengukuran konstruk berdasarkan persepsi pengetua ialah antara 0.805 – 0.986 dan bagi guru kanan ialah antara 0.683 – 0.935. Dengan ini, dapat disimpulkan bahawa pengukuran kebolehpercayaan konstruk-konstruk yang dikaji adalah agak tinggi. Dapatan analisis deskriptif menunjukkan bahawa pola gaya kepimpinan pengetua di sekolah menengah secara keseluruhannya adalah gaya kepimpinan demokratik (65.6%) berbanding dengan gaya kepimpinan autokratik dan lepas-bebas. Persepsi guru kanan terhadap gaya kepimpinan pengetua juga menunjukkan gaya kepimpinan demokratik. Persepsi pengetua terhadap amalan kepimpinan pengajaran mereka dari aspek pengajaran dan pembelajaran adalah pada tahap tinggi (min = 4.30). Bagaimanapun, dapatan juga menunjukkan bahawa persepsi guru kanan terhadap amalan kepimpinan pengajaran pengetua adalah positif dengan tahap tinggi dari aspek penyeliaan (71.1%) serta diikuti amalan kepimpinan pengajaran dari aspek pengajaran dan pembelajaran (71.1%). Dapatan analisis korelasi Pearson, menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara gaya kepimpinan demokratik dengan pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia (r = 0.44, p < .01 ), Bahasa Inggeris (r = 0.46, p < .01), Matematik (r = 0.38, p < .05) dan Sejarah (r = 0.35, p < .05). Di samping itu, terdapat hubungan yang signifikan antara gaya kepimpinan lepas-bebas dengan mata pelajaran Sejarah (r = 0.35, p < .05). Seterusnya, terdapat hubungan yang signifikan antara amalan kepimpinan pengajaran pengetua dari aspek pengajaran dan pembelajaran dengan pencapaian dalam mata pelajaran Sains (r = 0.34, p < .05). Dapatan analisis korelasi Pearson dari persepsi guru kanan menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan tetapi lemah antara gaya kepimpinan autokratik pengetua dengan pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia (r = 0.18, p < .05), Bahasa Inggeris (r = 0.23, p < .05), Matematik (r = 0.21, p < .05), Sains (r = 0.18, p < .05) dan Sejarah (r = 0.23, p < .05). Begitu juga analisis korelasi mendapati terdapat hubungan yang signifikan tetapi lemah antara gaya kepimpinan demokratik pengetua dengan pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia (r = 0.18, p < .05), Bahasa Inggeris (r = 0.23, p < .05), Matematik (r = 0.21, p < .05), Sains (r = 0.18, p < .05) dan Sejarah (r = 0.23, p < .05). Seterusnya terdapat hubungan yang signifikan tetapi lemah antara gaya kepimpinan lepas-bebas pengetua dengan pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia (r = 0.17, p < .05), Bahasa Inggeris (r = 0.15, p < .05), Sains (r = 0.19, p < .05) dan Sejarah (r = 0.20, p < .05). Dapatan analisis korelasi Pearson dari persepsi guru kanan juga mendapati bahawa terdapat hubungan yang signifikan tetapi lemah antara amalan kepimpinan pengajaran pengetua dari aspek penyeliaan dengan pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia (r = 0.21, p < .05), Bahasa Inggeris (r = 0.17, p < .05), Matematik (r = 0.13, p < .05) dan Sains (0.25, p < .05). Dapatan analisis regresi dengan Method Enter adalah untuk melihat sumbangan konstruk gaya kepimpinan pengetua dan amalan kepimpinan pengajaran pengetua terhadap pencapaian akademik pelajar dalam mata pelajaran teras bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dari persepsi pengetua dan guru kanan. Berdasarkan analisis regresi bagi persepsi pengetua mendapati bahawa gaya kepimpinan demokratik pengetua menyumbang sebanyak 23.2% kepada pencapaian akademik pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, 20.7% kepada pencapaian akademik pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, 8.9% kepada pencapaian akademik pelajar dalam mata pelajaran Matematik dan 14.6% kepada pencapaian akademik pelajar dalam mata pelajaran Sejarah. Manakala gaya kepimpinan lepas-bebas menyumbang sebanyak 5.6% kepada pencapaian akademik pelajar dalam mata pelajaran Sains. Analisis regresi dari persepsi guru kanan pula mendapati bahawa gaya kepimpinan demokratik pengetua menyumbang sebanyak 4.5% kepada pencapaian akademik pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Di samping itu, gaya kepimpinan autokratik pengetua menyumbang sebanyak 4.8% kepada pencapaian akademik pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, 3.8% kepada pencapaian akademik pelajar dalam mata pelajaran Matematik dan 4.0% kepada pencapaian akademik pelajar dalam mata pelajaran Sejarah. Manakala, amalan kepimpinan pengajaran pengetua menyumbang sebanyak 6.5% kepada pencapaian akademik pelajar dalam mata pelajaran Sains. Kesimpulannya, dapatan dari persepsi pengetua bagi gaya kepimpinan demokratik mempunyai hubungan yang signifikan dengan pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah. Manakala, amalan kepimpinan pengajaran pengetua dari aspek pengajaran dan pembelajaran mempunyai hubungan yang signifikan dengan pencapaian dalam mata pelajaran Sains. Dapatan analisis regresi dari persepsi pengetua menunjukkan bahawa gaya kepimpinan demokratik pengetua merupakan penyumbang terbanyak kepada pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Di samping itu, dari persepsi guru kanan amalan kepimpinan pengajaran pengetua merupakan penyumbang terbanyak kepada pencapaian dalam mata pelajaran Sains. Oleh itu, dapatan di atas sangat bermanfaat untuk warga pentadbiran pendidikan khususnya pengetua sekolah dan guru kanan dalam merancang dan melaksanakan gaya kepimpinan dan amalan kepimpinan pengajaran supaya dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar dalam mata pelajaran teras di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.


Download File

[img]
Preview
PDF
FPP 2013 37 IR.pdf

Download (1MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (PhD)
Subject: Educational leadership - Malaysia
Subject: Academic achievement - Malaysia
Subject: High school principals - Malaysia
Call Number: FPP 2013 37
Chairman Supervisor: Prof. Madya Rohani Ahmad Tarmizi, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Hasimah Adam
Date Deposited: 30 Sep 2015 03:09
Last Modified: 30 Sep 2015 03:09
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/40894
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item