Citation
Abd Latib, Nizam
(2004)
Faktor yang Mempengaruhi Kejayaan Penggunaan Sistem Maklumat Pelajar Berasaskan Komputer di Maktab Perguruan.
PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Penyelidikan ini adalah usaha untuk mengetahui sejauh mana tahap penggunaan
SMP dan kejayaan penggunaan SMP di maktab perguruan. Dalam penyelidikan
ini, kejayaan penggunaan SMP dilihat dari segi manfaat kepada individu dan
manfaat kepada organisasi. Reka bentuk penyelidikan adalah korelasi-deskriptif
dan data dihimpun dengan menggunakan soal selidik. Penyelidikan ini mematuhi
kaedah tinjauan yang menggunakan teknik persampelan kelompok untuk memilih
160 responden. Kadar respons adalah 100%. Perangkaan deskriptif dan statistik
inferens digunakan untuk menganalisis data kajian.
Dapatan penyelidikan menunjukkan bahawa tahap penglibatan pengguna SMP di
maktab perguruan dan tahap masalah yang dihadapi semasa pelaksanaan SMP di
maktab perguruan adalah rendah. Bagaimanapun, dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kefahaman pengguna tentang SMP, tahap kepuasan pengguna
tentang penggunaan SMP dan tahap kejayaan penggunaan SMP di maktab
perguruan adalah sederhana.
Selain itu, dapatan kajian juga menunjukkan bahawa tidak terdapat hubungan
yang signifikan antara faktor demografi dengan kejayaan penggunaan SMP dan
tidak terdapat hubungan yang signifikan antara kefahaman pengguna tentang
penggunaan SMP dengan kejayaan penggunaan SMP. Dapatan kajian juga
menunjukkan bahawa terdapat hubungan songsang yang signifikan antara tahap
masalah yang dihadapi semasa pelaksanaan SMP dengan kejayaan penggunaan
SMP, terdapat hubungan yang signifikan antara kekuatan SMP dengan kejayaan
penggunaan SMP dan terdapat hubungan yang signifikan antara gaya pengurusan
pentadbir maktab perguruan dengan kejayaan penggunaan SMP. Namun begitu,
tidak terdapat perbezaan yang signifikan dari segi keperluan latihan di antara
maktab perguruan yang dikaji dan tidak terdapat perbezaan yang signifikan dari
segi masalah yang dihadapi semasa pelaksanaan SMP di antara maktab perguruan
yang dikaji.
Analisis regresi berganda cara langkah demi langkah (stepwise) menunjukkan
bahawa tiga dari sembilan faktor yang dikaji memberi sumbangan yang
signifikan kepada kejayaan penggunaan SMP di maktab perguruan iaitu kualiti
sistem, kepuasan pengguna dan gaya pengurusan pengurus berasaskan pekerja.Berdasarkan dapatan kajian, satu model untuk memahami penyelidikan tentang
kejayaan penggunaan SMP di maktab perguruan dicadangkan.
Penyelidikan ini mencadangkan bahawa pengguna perlu mendapatkan latihan
kemahiran yang sempurna supaya boleh memahami dengan jelas peranan dan
kepentingan penggunaan SMP di maktab perguruan di samping mendapat
sokongan daripada pihak yang terlibat dalam projek pemasangan SMP di maktab
perguruan iaitu pihak Bahagian Teknologi Maklumat and Komunikasi, pihak
Bahagian Pendidikan Guru dan pihak Maktab Perguruan. Akhir sekali
dikemukakan juga cadangan lain untuk amalan dan penyelidikan selanjutnya.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |