UPM Institutional Repository

Penyampaian lisan dalam pengajaran karangan guru cemerlang Bahasa Melayu untuk murid-murid tingkatan empat


Citation

Said, Rozita Radhiah (2012) Penyampaian lisan dalam pengajaran karangan guru cemerlang Bahasa Melayu untuk murid-murid tingkatan empat. PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Penyelidikan kualitatif ini dijalankan untuk mengkaji penyampaian lisan pengajaran karangan guru cemerlang Bahasa Melayu dalam kalangan muridmurid tingkatan empat. Penyampaian lisan di dalam kajian ini merujuk kepada pengajaran karangan guru cemerlang di dalam bilik darjah yang bemula daripada peringkat permulaan, penyampaian isi dan penutupan. Terangkum di dalam penyampaian lisan itu juga apa-apa cara atau sistem mengajar sama ada dengan penggunaan pendekatan, kaedah atau teknik dalam melaksanakan segala sesuatu yang dirancang, disediakan, dikembangkan dan diakhiri dengan penilaian. Secara khusus tiga objektif kajian ini adalah, pertama bertujuan untuk menghuraikan kefahaman guru cemerlang tentang pengajaran karangan dan rasionalnya. Kedua, untuk menerangkan cara pengajaran karangan guru cemerlang di dalam bilik darjah dan ketiga, untuk menjelaskan bagaimanakah pelaksanaan penilaian pengajaran karangan guru di dalam bilik darjah. Pengkaji menggunakan reka bentuk kajian kes, iaitu satu kes pelbagai lokasi. Gabungan maklumat kajian ini diperoleh menerusi kaedah pemerhatian dan rakaman video, temu bual separa formal serta analisis dokumen-dokumen berkaitan. Data-data dalam kajian ini dianalisis secara induktif bagi membolehkan pengkaji memahami fenomena yang dikaji secara keseluruhan. Penganalisisan data juga dibuat menggunakan teknik triangulasi terhadap ketiga-tiga kaedah pemerhatian iaitu rakaman video, temu bual separa formal dan analisis dokumen. Seramai lima orang peserta kajian yang terdiri daripada guru cemerlang telah dipilih sebagai peserta kajian. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kefahaman iaitu pendapat yang diutarakan daripada pengetahuan di dalam fikiran guru cemerlang tentang apa yang dikatakan pengajaran karangan adalah bersamaan dengan garis panduan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Menengah dan berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Bermula daripada susuk karangan yang diajar mestilah mengandungi perenggan pendahuluan, perenggan isi dan perenggan penutupan, sehinggalah kepada cara mengorganisasi perenggan, jumlah isi dan jumlah perkataan yang perlu ditulis adalah akur kepada keperluan peperiksaan. Kefahaman ini dipegang sebagai asas untuk merealisasikan ciri-ciri karangan cemerlang supaya menepati kriteria penskoran penulisan karangan umum yang digariskan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Rasional yang diberikan adalah pada akhirnya untuk memenuhi tuntutan peperiksaan. Penyampaian lisan pengajaran karangan guru cemerlang memperlihatkan ciri-ciri pengajaran konvensional yang ketara. Penyampaian lisan pengajaran karangan di dalam bilik darjah adalah berpusatkan guru, berpusatkan bahan dan berpusatkan disiplin. Murid hanya bertindak atas arahan atau pertanyaan guru dan tugasan berbentuk individu. Pengajaran guru jelas berpandukan objektif dan berasaskan pengetahuan, perancangan rutin, persekitaran terkawal, rangsangan seluruhnya adalah daripada teks yang telah disediakan lebih awal oleh guru. Guru juga mengemukakan jawapan melebihi soalan dan satu soalan untuk jawapan yang panjang. Teknologi komputer hanya digunakan untuk memberitahu bukan mengaplikasi perisian atau sebagai enjin carian, manakala pergerakan murid terbatas kerana susunan kerusi meja tetap sepanjang P&P yang berprosedur ketat. Rasional yang diberi oleh peserta kajian atas dapatan tersebut adalah merujuk kepada saiz dan bilangan murid di dalam bilik darjah, pengurusan masa, pengurusan bilik darjah, serta tekanan sebagai GC untuk merealisasikan harapan pentadbir sekolah, ibu bapa dan masyarakat atas tuntutan peperiksaan awam. Pelaksanaan penilaian karangan murid-murid di dalam bilik darjah pula dibuat dengan beberapa cara iaitu, (i) berdasarkan ciri-ciri karangan yang menepati skor peperiksaan awam, (ii) berdasarkan kepada tercapai atau tidak tercapai objektif pelajaran dan (iii) berdasarkan ujian sumatif dan ujian formatif. Penilaian juga dibuat dengan jelas berpandukan garis panduan penskoran peperiksaan awam supaya murid-murid dapat membiasakan diri. Kriteria penskoran Lembaga Peperiksaan Malaysia bagi peperiksaan SPM digunakan sebagai garis panduan setiap peserta kajian untuk membuat penilaian dan penentuan pencapaian standard terhadap kemahiran menulis murid-murid. Maka penyampaian lisan pengajaran karangan guru di dalam bilik darjah dilihat juga sebagai satu usaha menyediakan murid-murid ke arah itu. Sama ada secara langsung atau secara tidak langsung penyampaian lisan pengajaran karangan guru pasti menyentuh aspek penilaian, sifat-sifat luaran karangan yang cemerlang, ciri-ciri karangan yang baik, penggredan dan juga pemarkahan. Kajian ini mencadangkan agar kajian lanjutan dibuat khususnya untuk mengenal pasti keperluan-keperluan atau faktor-faktor lain yang secara nyata dapat membantu meningkatkan kemahiran mengajar karangan di dalam bilik darjah.


Download File

[img]
Preview
PDF
FPP 2012 27R.pdf

Download (916kB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (PhD)
Subject: Malay language - Rhetoric - Study and teaching (Secondary)
Subject: Malay language - Composition and exercises - Study and teaching (Secondary)
Subject: Teacher effectiveness
Call Number: FPP 2012 27
Chairman Supervisor: Prof. Madya Dr. Abdul Rasid Bin Jamian
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 20 Jan 2015 02:09
Last Modified: 20 Jan 2015 02:09
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/32007
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item