UPM Institutional Repository

Kesan aktiviti melukis mural ekosistem marin dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran pelajar sekolah menengah terhadap alam sekitar


Citation

Othman, Rohana (2012) Kesan aktiviti melukis mural ekosistem marin dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran pelajar sekolah menengah terhadap alam sekitar. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Pendidikan Alam Sekitar merupakan satu proses pembelajaran tentang persekitaran yang telah diterapkan ke dalam kurikulum pendidikan negara sejak tahun 1980-an lagi. Aspek Pendidikan Alam Sekitar ini telah diintegrasikan ke dalam semua mata pelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah di Malaysia secara merentas kurikulum. Banyak aktiviti Pendidikan Alam Sekitar telah dicadangkan dan dimuatkan ke dalam Huraian Sukatan Pelajaran, walau bagaimanapun sehingga ke hari ini objektif Pendidikan Alam Sekitar di Malaysia masih belum tercapai sepenuhnya. Ia boleh dibuktikan dengan beberapa kajian yang telah dijalankan oleh penyelidik-penyelidik tempatan sebelum ini dan kajian mereka mendapati tahap pengetahuan, kesedaran, amalan dan sikap pelajar sekolah di Malaysia terhadap alam sekitar masih tidak membanggakan. Dalam kajian ini, rekabentuk kajian yang digunakan adalah kuasi-eksperimental yang bertujuan untuk menilai tahap pengetahuan dan kesedaran pelajar terhadap alam sekitar sebelum aktiviti pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Alam Sekitar, selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Alam Sekitar, selepas aktiviti penghayatan melukis mural ekosistem marin dan satu bulan selepas aktiviti penghayatan melukis mural ekosistem marin. Kajian ini menggunakan kaedah pengukuran berulang yang melibatkan seramai 128 orang pelajar tingkatan 2 di dua buah sekolah menengah harian biasa di daerah Gombak, Selangor. Pelajar telah dibahagikan kepada dua buah kumpulan mengikut sekolah bagi mewakili kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Kumpulan rawatan dinilai menggunakan ujian pra (sebelum eksperimen), ujian pos 1 (selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Alam Sekitar), ujian pos 2 (selepas aktiviti penghayatan melukis mural ekosistem marin) dan ujian pos 3 (satu bulan selepas aktiviti penghayatan melukis mural ekosistem marin) manakala kumpulan kawalan hanya dinilai menggunakan ujian pra, ujian pos 1 dan ujian pos 2. Setiap set ujian mengandungi 20 soalan pengetahuan pelbagai pilihan dan 18 pernyataan kesedaran berasaskan skala lima Likert. Dapatan kajian ini menunjukkan ada peningkatan dalam skor min pengetahuan terhadap alam sekitar bagi kumpulan rawatan dalam ujian pos 1 (Skor min = 70.78%, S.P =12.42), ujian pos 2 (Skor min = 74.06%, S.P = 14.22) dan ujian pos 3 (Skor min =71.09%, S.P = 18.87) berbanding ujian pra (Skor min = 54.30%, S.P = 10.69). Peningkatan skor turut berlaku dalam skor min kesedaran terhadap alam sekitar bagi kumpulan rawatan ini dalam ujian pos 1 (Skor min = 4.12, S.P = 0.44), ujian pos 2 (Skor min = 4.08, S.P = 0.40) dan ujian pos 3 (Skor min = 4.01, S.P = 0.52) berbanding ujian pra (Skor min = 3.89, S.P = 0.44). Walau bagaimanapun kumpulan kawalan tidak menunjukkan perubahan dalam skor min pengetahuan dan kesedaran terhadap alam sekitar selepas eksperimen dijalankan. Dapatan kajian ini juga mendapati telah berlaku sedikit penurunan dalam skor min pengetahuan terhadap alam sekitar bagi kumpulan rawatan dalam ujian pos 3 iaitu satu bulan selepas eksperimen dijalankan. Ia disebabkan oleh pelajar-pelajar ini tidak dapat mengekalkan maklumat dan pengetahuan mereka tanpa adanya aktiviti pemberian maklumat secara berulang dan berterusan. Namun begitu kumpulan ini telah berjaya mengekalkan tahap kesedaran yang tinggi terhadap alam sekitar walaupun selepas satu bulan eksperimen dijalankan. Kesimpulannya, dapat dibuktikan bahawa aktiviti pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Alam Sekitar yang disusuli dengan penghayatan melukis mural ekosistem marin telah memberi kesan positif dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran pelajar terhadap alam sekitar.


Download File

[img]
Preview
PDF
FPAS 2012 1R.pdf

Download (770kB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Environmental education - Study and teaching (Elementary)
Subject: Marine ecology
Subject: Environmental education - Activity programs
Call Number: FPAS 2012 1
Chairman Supervisor: Puan Rosta Harun
Divisions: Faculty of Environmental Studies
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 09 Nov 2017 10:21
Last Modified: 09 Nov 2017 10:21
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/31676
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item