Citation
Noruzzaman, Abdul Razak
(2010)
Perbandingan Tahap Tingkah Laku Agresif Antara Atlet dan Bukan Atlet dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Daerah Hilir Perak, Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk memperihalkan ciri demografi, tahap tingkah laku agresif atlet pelajar mengikut jenis keagresifan dan mengenal pasti hubungan antara tingkah laku agresif dengan penglibatan pelajar dalam bidang sukan. Kajian ini juga bertujuan untuk mengetahui perbandingan tahap tingkah laku agresif antara atlet pelajar dengan bukan atlet pelajar sekolah menengah di daerah Hilir Perak. Sampel kajian terdiri daripada 350 orang pelajar tingkatan empat yang mewakili atlet pelajar dan bukan atlet pelajar. Pemilihan sampel dibuat secara rawak. Statistik diskriptif dan inferensi digunakan untuk menganalisis data. Data mengenai tahap tingkah laku agresif diukur menggunakan soal selidik Aggression Questionaire oleh Buss dan Perry (1992) yang diterjemahkan dan diubahsuai mengikut kesesuaian budaya pelajar di negara ini. Soal selidik ini digunakan untuk mengukur tahap tingkah laku agresif pelajar yang melibatkan empat jenis keagresifan; keagresifan fizikal, keagresifan verbal, sifat kemarahan dan sifat permusuhan. Dapatan kajian menunjukkan tahap keagresifan atlet pelajar secara keseluruhan berada pada tahap yang sederhana. (min = 86.21, SP = 20.13) yang melibatkan keempat-empat jenis keagresifan. Keagresifan fizikal (min = 25.78, SP = 8.02) dan sifat kemarahan (min = 19.68, SP = 5.31) mencatatkan min pada tahap sederhana. Akan tetapi jenis keagresifan verbal (min = 15.67, SP = 4.47) dan sifat melawan (min = 25.07, SP = 6.69) pula mencatatkan tahap min yang tinggi. Analisis Korelasi Pearson r bagi mengukur hubungan antara pembolehubah menunjukkan hubungan yang signifikan antara tingkah laku agresif dengan penglibatan pelajar dalam bidang sukan (r= -.284, p<0.01). Ujian-t sampel bebas digunakan bagi mengkaji perbezaan tahap tingkah laku agresif antara atlet pelajar dengan bukan atlet pelajar. Dapatan mencadangkan atlet pelajar lebih agresif berbanding bukan atlet pelajar dalam semua perbandingan antara jantina. Dapatan kajian juga menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan bagi tingkah laku agresif [ t (348) = 5.533, p < 0.05 ] antara atlet pelajar dengan bukan atlet pelajar di mana atlet pelajar lebih bertingkah laku agresif berbanding bukan atlet pelajar. Oleh itu, adalah dicadangkan tingkah laku agresif pelajar yang terlibat dalam bidang sukan ini di ambil perhatian oleh institusi pendidikan serta pihak yang merancang program intervensi untuk para pelajar. Kajian ini mencadangkan bahawa terdapat hubungan antara tingkah laku agresif dengan penglibatan pelajar dalam bidang sukan. Namun, tingkah laku agresif yang membawa kebaikan dan kesan yang positif kepada para pelajar juga, perlu di ambil perhatian untuk perkembangan pendidikan secara holistik.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |