Citation
Teng, Lung Kiu
(2006)
Pengaruh Faktor Terpilih Terhadap Efikasi-Kendiri Guru Sekolah Menengah di Negeri Sarawak.
PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Matlamat kajian ini adalah untuk mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi
efikasi-kendiri guru. Faktor-faktor yang ingin dikenal pasti ialah persepsi guru terhadap
iklim sekolah, persepsi guru terhadap kepemimpinan transformasional pengetua, efikasikendiri
menggunakan komputer di kalangan guru, penglibatan guru dalam proses
membuat keputusan, penglibatan guru dalam program perkembangan staf, latar belakang
sekolah dan latar belakang guru.
Kajian ini dijalankan di Bahagian Kuching/Samarahan dengan melibatkan 420 orang
guru daripada 18 buah sekolah menengah. Namun, analisis kajian hanya dilakukan ke
atas 376 set (89.5%) soal selidik yang lengkap. Statistik deskriptif (min, sisihan piawai,
frekuensi, peratusan, median dan sisihan kuartil) dan inferensi (ujian-t, ANOVA Satu Hala, Korelasi Pearson r dan Regresi berganda) digunakan untuk menganalisis data dan
membentangkan dapatan kajian.
Secara keseluruhan, dapatan menunjukkan bahawa tahap efikasi-kendiri guru adalah
tinggi. Menurut persepsi guru, amalan kepemimpinan transformational pengetua dan
tahap efikasi-kendiri menggunakan komputer di kalangan guru juga berada pada tahap
yang tinggi. Tahap iklim sekolah juga berada pada tahap yang baik menurut persepsi
guru. Namun, tahap penglibatan guru dalam proses membuat keputusan adalah sederhana
dan tahap penglibatan guru dalam program perkembangan staf adalah rendah.
Hasil kajian juga menunjukkan bahawa terdapat hubungan positif yang signifikan di
antara efikasi-kendiri guru dengan persepsi guru terhadap amalan kepemimpinan
pengetua, persepsi guru terhadap iklim sekolah, efikasi-kendiri menggunakan komputer
di kalangan guru, penglibatan guru dalam proses membuat keputusan dan penglibatan
guru dalam program perkembangan staf. Dapatan kajian juga menunjukkan peramal
efikasi-kendiri guru terdiri daripada enam pemboleh ubah, iaitu persepsi guru terhadap
amalan kepemimpinan transformasional pengetua, efikasi-kendiri menggunakan
komputer di kalangan guru, penglibatan guru dalam proses membuat keputusan, jantina
guru (pemboleh ubah dummi 1=lelaki), jumlah pelajar sekolah dan pengalaman bekerja
guru. Faktor-faktor ini hanya dapat menerangkan 21.8% varians efikasi-kendiri guru.
Dapatan ini menunjukkan bahawa terdapat pemboleh ubah lain yang mempengaruhi
efikasi-kendiri guru. Berdasarkan dapatan kajian, beberapa cadangan kepada pihak
sekolah, pihak kementerian Pendidikan dan penyelidik lanjutan dikemukakan.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |