Citation
Nasrudin, Ezzah ‘Afifah
(2022)
Bahasa sarkastik dalam laman sosial Facebook.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini menyingkap pengetahuan baharu dari aspek bentuk dan makna
sarkastik. Hal ini demikian kerana bahasa sarkastik telah mengalami perubahan
bentuk dan makna disebabkan berlakunya perkembangan teknologi Internet.
Impaknya, bahasa sarkastik telah mengalami permasalahan dari sudut
kekeliruan bentuk (Alva, 2016) dan percanggahan makna (Rockwell, 2005)
sehingga bahasa sarkastik telah menjadi satu bahasa yang agak rumit untuk
difahami (Penny, 2018). Justeru, objektif kajian ini dijalankan adalah untuk
merungkaikan bentuk dan makna sarkastik serta merumuskannya secara rinci.
Bagi mencapai tiga objektif kajian tersebut, reka bentuk kajian kualitatif dengan
sokongan kaedah analisis kandungan telah digunakan. Sebanyak 120 status
yang mempunyai tanda pagar sarkastik (#sarkastik) dalam laman sosial
Facebook telah terkumpul dengan bermula pada bulan Julai 2017 sehingga
Disember 2019. Data kualitatif ini dianalisis mengikut Model Gibbs (2000) kerana
dapat memberikan panduan dalam merungkaikan bentuk dan makna tersirat
dalam ucapan sarkastik. Tambahan lagi, Kamus Dewan Edisi Terkini (2016) juga
digunakan bagi memperoleh makna tepat menerusi maklumat linguistik dan
dapat memahami setiap makna tema yang ditemui dalam ucapan sarkastik agar
tema tersebut bertepatan dengan perkara yang dibincangkan.
Secara keseluruhannya, terdapat enam bentuk sarkastik, iaitu ironi (56.5%),
agresif (7.5%), humor (16%), hiperbola (3%), persoalan retorik (15%) dan
kenyataan tidak benar (2%). Ini menunjukkan bahawa bentuk ironi adalah
bentuk yang paling dominan digunakan untuk menyampaikan sarkastik. Bagi
aspek makna pula, ucapan sarkastik sememangnya mengandungi
percanggahan makna sebenar (tersirat), iaitu maksudnya berbeza dengan
ucapan yang diungkapkan. Percanggahan ini dapat dikesan melalui
persekitaran konteks Menerusi penganalisisan bentuk dan makna dalam kajian ini juga dapat merumuskan penemuan tema dan sifat sarkastik yang terkandung di dalam ucapannya. Bagi tema sarkastik, terdapat lima tema yang dikenal pasti, iaitu politik (42.5%), sosial (34.1%), ekonomi (14.2%), pendidikan (5%) dan agama
(4.2%). Berdasarkan peratusan tersebut, jelas menunjukkan bahawa tema yang
paling dominan digunakan dalam menyampaikan sarkastik, ialah tema politik.
Selain itu, terdapat empat sifat utama dalam ucapan sarkastik, iaitu
ketidakselarasan konteks, mempunyai ekspresi tersendiri, dapat menzahirkan
emosi yang sebenar dan mempunyai tujuan sebenar disebalik ucapan.
Kesimpulannya, kajian ini dapat memberikan impak yang positif kepada
masyarakat dengan menyingkap pengetahuan baharu dari aspek bentuk dan
makna, di samping meningkatkan lagi pengetahuan dan panduan tentang
bahasa sarkastik yang digunakan pada era ini.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |