Citation
Mohd Fasiah, Ellie Esterina
(2022)
Faktor peramal penggunaan analitik pembelajaran menggunakan Google Classroom (DELIMa) dalam kalangan guru sekolah menengah di Kuala Lumpur, Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Proses pembelajaran dan pemudahcaraan yang selari dengan Revolusi Industri
4.0, memerlukan pengintegrasian teknologi baharu bagi meningkatkan prestasi
guru dan murid. Analitik pembelajaran (AP) merupakan satu pendekatan yang
mengukur, mengumpul, menganalisis dan malaporkan maklumat mengenai
murid dan kandungan bagi tujuan memahami dan meningkatkan persekitaran
dan pembelajaran. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji faktor yang
mempengaruhi penggunaan AP menggunakan pelantar pembelajaran digital
Google Classroom (GC), DELIMa. Selain itu, kajian menentukan hubungan
kesediaan, kompetensi, penerimaan dan penggunaan GC terhadap
penggunaan AP GC (DELIMa) dalam kalangan guru sekolah menengah.
Penerimaan guru diukur dari empat faktor iaitu persepsi guru terhadap
kebergunaan, persepsi guru terhadap kemudahgunaan, sikap guru dan hasrat
perlakuan guru. Teori yang menjadi panduan dalam kajian ini ialah Model
Penerimaan Teknologi, Teori Bersepadu Penerimaan dan Penggunaan
Teknologi dan Model Analitik Pembelajaran. Kajian ini dijalankan ke atas 304
guru sekolah menengah harian di Kuala Lumpur. Instrumen kajian
menggunakan soal selidik secara dalam talian, Google Form. Data dikumpul dan
dianalisis menggunakan perisian IBM SPSS Statistics Version 26.0. Seterusnya,
analisis deskriptif digunakan untuk mendapatkan nilai min, sisihan piawai dan
peratus bagi setiap pemboleh ubah. Analisis inferensi dan regresi juga
digunakan untuk melihat hubungan korelasi dan pengaruh antara kesediaan,
kompetensi dan penerimaan guru terhadap penggunaan AP GC dalam proses
pembelajaran dan pemudahcaraan guru. Dapatan kajian menunjukkan tahap
penggunaan AP GC guru sekolah menengah di Kuala Lumpur secara
keseluruhan adalah rendah. Analisis korelasi Pearson pula menunjukkan
terdapat hubungan signifikan positif yang kuat antara penggunaan GC dan
kompetensi guru dengan penggunaan AP GC. Manakala, terdapat hubungan
signifikan yang positif yang sederhana antara pemboleh ubah kesediaan guru,
persepsi guru terhadap kebergunaan, hasrat perlakuan guru, sikap guru dan
persepsi guru terhadap kemudahgunaan. Analisis regresi pula menunjukkan
penggunaan GC, kompetensi guru, persepsi guru terhadap kebergunaan dan
kesediaan guru merupakan faktor peramal terhadap penggunaan AP GC.
Kesimpulannya, kajian ini dapat mengkaji faktor peramal bagi penggunaan AP
GC dalam kalangan guru sekolah menengah di Kuala Lumpur. Cadangan untuk
kajian akan datang ialah memperluaskan populasi kajian, mempelbagaikan
kaedah kajian, menambah pemboleh ubah dan memperluaskan skop kajian.
Kajian ini juga diharap dapat memberi gambaran serta menyumbangkan satu
alternatif keperluan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dan pihak
berkaitan dalam merangka strategi bagi membantu guru membuat penyeliaan
terhadap kesesuaian penggunaan AP GC.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |