Citation
Yusran, Noor Ashira
(2021)
Pengaruh eksplorasi kerjaya sebagai pengantara sokongan sosial dan efikasi kendiri terhadap hasrat pemilihan bidang kerjaya dalam kalangan pelajar Asasi Sains Pertanian.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Pemahaman pelajar yang kurang baik tentang kebolehan diri mereka,
kesamaran maklumat tentang perkara yang boleh mereka lakukan selepas
tamat pengajian serta menjadikan bidang-bidang kerjaya yang diceburi oleh
ahli keluarga dan orang terdekat sebagai sumber utama bagi pembinaan
hasrat pemilihan bidang kerjaya tanpa menerokai bidang kerjaya yang lain
merupakan antara sebab kadar pengangguran dalam kalangan graduan
semakin meningkat saban tahun lanjutan daripada graduan tidak memenuhi
kehendak pasaran kerja.
Kurangnya aktiviti eksplorasi kerjaya dalam kalangan pelajar ini menjurus
kepada kesan buruk terhadap bekalan tenaga kerja negara. Aktiviti eksplorasi
kerjaya dilihat terlibat dalam faktor-faktor yang mempengaruhi hasrat pemilihan
kerjaya seperti efikasi kendiri kerjaya dan sokongan sosial kerjaya. Gambaran
keseluruhan yang komprehensif dan penyepaduan empirikal penemuan
penyelidikan mengenai anteseden dan hasil eksplorasi kerjaya pelajar
menyebabkan pengkaji berminat untuk mengkaji dengan lebih dalam peranan
eksplorasi kerjaya dalam hubungan antara efikasi kendiri kerjaya dan
sokongan sosial kerjaya terhadap hasrat pemilihan kerjaya dalam kalangan
pelajar ASPer.
Kajian ini memfokuskan terhadap apakah tahap sokongan sosial, efikasi
kerjaya, eksplorasi kerjaya dan hasrat pemilihan bidang kerjaya. Seterusnya,
objektif kajian kedua dan ketiga adalah untuk mengkaji hubungan dan
mengenal pasti faktor peramal yang mempengaruhi hasrat pemilihan bidang
kerjaya dalam kalangan pelajar-pelajar ini. Manakala yang terakhir, adalah
untuk mengenal pasti sama ada eksplorasi kerjaya adalah pengantara yang
wujud dalam kajian ini. Kajian ini adalah kajian kuantitatif berbentuk korelasi
menggunakan kaedah tinjauan yang dijalankan ke atas 269 orang pelajar ASPer
UPM yang dipilih secara rawak mudah daripada populasi seramai 846 orang pelajar.
Konstruk eksplorasi kerjaya diukur menggunakan instrumen Career Exploration
Survey (CES), sokongan sosial diukur dengan menggunakan instrumen
Multidimensional Scale of Perceived Social Support, efikasi kendiri kerjaya diukur
menggunakan instrumen Career Decision-Making Self-efficacy Scale-Short (CDSESF)
dan instrumen hasrat pemilihan bidang kerjaya dinilai dengan menggunakan
instrumen yang diadaptasi dan disesuaikan mengikut skop kajian ini. Perisian IBM
SPSS Statistics digunakan bagi menganalisis data yang dikumpul.
Dapatan kajian menunjukkan tahap yang tinggi dalam semua aspek yang dikaji iaitu
sokongan sosial (M=5.81, SP= 1.219), efikasi kendiri kerjaya (M=3.94, SP=0.904)
dan hasrat pemilihan bidang kerjaya dalam kalangan pelajar (M=3.94, SP=0.810)
kecuali eksplorasi kerjaya berada pada tahap sederhana (M=3.69, SP=0.893).
Analisis korelasi Pearson yang dijalankan pula didapati bahawa hubungan yang
positif antara kedua-dua hubungan sokongan sosial dan hasrat pemilihan bidang
kerjaya (r=.425, p<.01) dan hubungan efikasi kendiri kerjaya dan hasrat pemilihan
bidang kerjaya (r=.282, p<.01). Analisis Regresi Pelbagai yang dilakukan mendapati
efikasi kendiri adalah peramal terbaik bagi hasrat pemilihan bidang kerjaya pelajar
ASPer dan eksplorasi kerjaya merupakan pengantara separa dalam hubungan
sokongan sosial dan efikasi kendiri kerjaya dengan hasrat pemilihan bidang kerjaya.
Kajian ini menunjukkan bahawa eksplorasi kajian sememangnya mempunyai
peranan dalam menghubungkan faktor-faktor lain dengan hasrat pemilihan bidang
kerjaya yang bersesuaian dalam kalangan pelajar.
Secara praktikal, kajian ini penting bagi memastikan kualiti modal insan yang
dilahirkan selari dengan permintaan pasaran tenaga kerja seterusnya menjayakan
usaha kerajaan dalam mengurangkan kadar pengangguran negara.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |