UPM Institutional Repository

Hubungan antara faktor sekolah, konsep kendiri dan tingkah laku dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Selangor, Malaysia


Citation

Abd Radzak, Sabarnur (2022) Hubungan antara faktor sekolah, konsep kendiri dan tingkah laku dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Selangor, Malaysia. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kajian ini bertujuan untuk menentukan hubungan antara faktor sekolah, konsep kendiri, dan tingkah laku pelajar sekolah menengah di Selangor. Pendekatan kuantitatif dan rekabentuk survei digunakan secara analisis deskriptif dan korelasi. Di samping itu, kajian ini juga menggunakan analisis pengantara untuk mengukur kesan mediator (konsep kendiri) terhadap hubungan antara pemboleh ubah bebas dan pemboleh ubah bersandar. Seramai 400 orang pelajar sekolah yang berumur 14 dan 16 tahun dari lapan buah sekolah menengah di negeri Selangor telah terlibat sebagai responden. Pengumpulan data kajian adalah melalui soal selidik yang ditadbir sendiri dan persampelan rawak sistematik telah digunakan dalam pemilihan responden. Satu set soal selidik yang merangkumi gabungan beberapa skala telah digunakan, dimana pengukuran faktor sekolah yang merangkumi budaya dan iklim sekolah melibatkan (Inventory of Parents and Peer Attachment (IPPA), Questions of Teacher’s Interaction (QTI), School Self-Review Tools (SSRT), dan Multidimensional Scale of Perceived Social SupportZimet). Pengukuran konsep kendiri menggunakan Self-Concept Individual Protective Factors Index dan tingkah laku menggunakan ASEBA School-Age Youth Self Report (YSR). Dapatan kajian menunjukkan majoriti responden mempunyai tahap konsep kendiri, faktor sekolah, dan tingkah laku yang sederhana. Hasil analisis ujian-t mendapati terdapat perbezaan yang signifikan bagi kelima-lima subskala dalam tingkah laku (kebimbangan, menarik diri, masalah somatik, tingkah laku agresif, dan tingkah laku melanggar peraturan) berdasarkan jantina. Empat subskala menunjukkan pelajar perempuan lebih tinggi skor berbanding pelajar lelaki dan satu subskala iaitu tingkah laku melanggar peraturan skor pelajar lelaki lebih tinggi berbanding pelajar perempuan. Ujian korelasi pearson antara latar belakang sosiodemografi dengan tingkah laku menunjukkan terdapat hubungan signifikan yang negatif antara pendapatan isi rumah dengan kebimbangan dan masalah somatik. Keputusan ujian korelasi juga menunjukkan terdapat hubungan signifikan yang negatif antara konsep kendiri dengan semua subskala tingkah laku dan terdapat hubungan signifikan yang positif antara konsep kendiri dengan semua subskala faktor sekolah. Hasil analisis regresi menunjukkan faktor peramal unik terhadap subskala tingkah laku adalah seperti berikut; faktor peramal unik terhadap kebimbangan adalah jantina, hubungan antara pelajar dan konsep kendiri, faktor peramal unik bagi menarik diri adalah jantina dan hubungan antara pelajar dengan pelajar, faktor peramal unik bagi masalah somatik adalah jantina dan konsep kendiri. Faktor peramal unik bagi tingkah laku agresif adalah konsep kendiri, jantina dan hubungan guru dengan pelajar, faktor peramal unik bagi tingkah laku melanggar peraturan adalah konsep kendiri dan jantina. Analisis mediator menunjukkan konsep kendiri memberi kesan mediator ke atas hubungan antara faktor sekolah dengan tingkah laku. Konsep kendiri menjadi mediator ke atas hubungan antara kebimbangan dengan faktor sekolah (persekitaran sekolah), konsep kendiri menjadi mediator ke atas hubungan antara menarik diri dengan kesemua subskala faktor sekolah (hubungan pelajar dengan pelajar, hubungan guru dengan pelajar, persekitaran sekolah dan sokongan sosial), konsep kendiri menjadi mediator ke atas hubungan antara tingkah laku agresif dengan faktor sekolah (hubungan guru dan pelajar), konsep kendiri menjadi mediator ke atas hubungan antara tingkah laku melanggar peraturan dengan faktor sekolah (persekitaran sekolah). Hasil kajian ini memberikan implikasi secara teoritikal di mana dapatan ini bersesuaian dengan teori kognitif sosial (Bandura, 2001) yang menghuraikan bahawa, faktor persekitaran termasuk faktor sekolah dan konsep kendiri mempunyai hubungan timbal balik dengan tingkah laku pelajar sekolah menengah. Teori ini menekankan bahawa tingkah laku adalah hasil interaksi antara persekitaran dan aspek kognitif. Dengan kata lain, tingkah laku dalaman dan luaran boleh dibangunkan melalui persekitaran yang berubah, serta faktor kognitif seperti konsep kendiri. Justeru, dapatan kajian ini selaras dengan Teori Bandura kerana ia menekankan peranan penting faktor sekolah dan konsep kendiri serta tingkah laku dalaman dan luaran dalam kalangan pelajar. Kesimpulannya, kajian ini mendapati tiga faktor utama yang saling berinteraksi antara satu sama lain iaitu faktor sekolah, konsep kendiri dan pengaruhnya terhadap tingkah laku. Kajian ini memperjelaskan kepentingan mengambil kira ketiga-tiga faktor ini dalam program di sekolah yang dibentuk untuk peningkatan kualiti pelajar sekolah menengah. Para guru dan ibu bapa boleh berkerjasama dalam meningkatkan konsep kendiri dan faktor sekolah untuk pengawalan tingkah laku dalaman dan luaran pelajar. Kajian ini juga telah menemukan satu dapatan yang penting dalam konteks bidang psikologi sosial berkaitan tingkah laku.


Download File

[img] Text
113065.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Self-perception in adolescence - Malaysia
Subject: School environment
Subject: Educational psychology - Malaysia
Call Number: FEM 2022 30
Chairman Supervisor: Amna Md Noor, PhD
Divisions: Faculty of Human Ecology
Depositing User: Ms. Rohana Alias
Date Deposited: 25 Oct 2024 02:42
Last Modified: 25 Oct 2024 02:42
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/113065
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item