Citation
Othman, Ab. Razak
(2022)
Faktor penyertaan wanita dalam sektor informal terhadap kesejahteraan ekonomi subjektif isi rumah di zon tengah Semenanjung Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kesejahteraan merupakan asas sebuah kehidupan bagi mencapai kebahagiaan.
Kesejahteraan ekonomi subjektif isi rumah bermaksud penilaian seseorang tentang
keadaan ekonomi mereka berdasarkan faktor pilihan dan keperluan. Penyertaan wanita
bandar dalam sektor informal terdedah dengan pelbagai cabaran dalam pekerjaan kerana
sektor informal bersifat rentan. Cabaran lebih sukar dihadapi apabila berlakunya
ketidaktentuan ekonomi dan krisis COVID-19 yang telah melanda negara dan seluruh
dunia menyebabkan pekerja dalam sektor ini menerima kesan negatif yang besar. Oleh
yang demikian, sudah tiba masanya pekerja di sektor ini diberi perhatian khusus oleh
pihak kerajaan dalam meningkatkan tahap kebajikan, perlindungan dan pemerkasaan
sektor informal negara. Langkah-langkah yang sewajarnya perlu dilaksana dan
dipergiatkan lagi supaya pekerja dalam sektor ini menikmati tahap kesejahteraan
ekonomi subjektif yang lebih baik dari aspek pendapatan, perbelanjaan, simpanan dan
aset yang mampu dimiliki oleh mereka. Tujuan utama kajian ini adalah untuk mengenal
pasti sebab wanita menyertai sektor informal berdasarkan ciri-ciri demografi (umur,
pendapatan, taraf pendidikan, bilangan isi rumah dan status perkahwinan) terhadap
faktor penyertaan dalam sektor informal. Seterusnya, kajian ini bertujuan untuk
menganalisis faktor penyertaan wanita secara pilihan dan keperluan serta mengukur
faktor kemahiran sebagai pemboleh ubah perantara terhadap kesejahteraan ekonomi
subjektif. Penyertaan wanita adalah secara pilihan dan keperluan dianalisis
menggunakan Teori Penyebab, Teori Utiliti dan Teori Kehidupan Mampan.
Selanjutnya kajian dijalankan dengan menggunakan kaedah kajian secara kuantitatif,
dengan teknik persampelan rawak berstrata, iaitu seramai 474 orang responden yang
dipilih dari zon tengah semenanjung Malaysia meliputi negeri Selangor, Kuala Lumpur
dan Putrajaya. Selain itu, instrumen borang soal selidik yang mengandungi lima
bahagian iaitu demografi, jenis pekerjaan, faedah, kesejahteraan ekonomi subjektif,
faktor penyertaan dan mediator kemahiran telah diedarkan bagi memperoleh data. Data yang diperolehi telah dianalisis dengan menggunakan Perisian Statistical Package for
Social Sciences (SPSS) dan Analysis Moment for Structures (AMOS) IBM AMOS V23
digunakan bagi menganalisis data. Analisis Regresi Linear Berganda dan SEM-AMOS
digunakan bagi melihat hubungan dan pengaruh antara pemboleh ubah. Keputusan
kajian menunjukkan bahawa ciri-ciri demografi penyertaan wanita secara pilihan yang
signifikan ialah pendapatan (p = 0.008), dan status perkahwinan (berpisah) (p = 0.008)
sahaja, manakala, ciri-ciri demografi secara keperluan yang signifikan hanyalah
pendapatan sahaja iaitu (p= 0.008). Seterusnya, terdapat pengaruh oleh penyertaan
wanita secara pilihan dan penyertaan secara keperluan iaitu sebanyak 53 peratus varians
dalam sektor informal terhadap kesejahteraan ekonomi subjektif isi rumah. Faktor
penyertaan wanita menyumbang secara signifikan terhadap kesejahteraan ekonomi
subjektif isi rumah iaitu (β = 0.25, p < .001) menerusi penyertaan secara keperluan dan
(β = 0.27, p < 0.001) penyertaan secara pilihan. Pendapatan merupakan ciri demografi
yang paling utama yang menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi subjektif isi
rumah. Aspek kemahiran pula dilihat sebagai perantara yang signifikan menerusi
penyertaan secara pilihan (β = 0.27, p < .001) dan penyertaan secara keperluan (β = 0.18,
p < .001) terhadap kesejahteraan ekonomi subjektif isi rumah. Kemahiran yang dimiliki
akan meningkatkan produktiviti dan pekerja mahir sentiasa diperlukan oleh majikan.
Justeru, implikasi dapatan kajian ini membuktikan bahawa sektor pekerjaan informal
perlu diambil perhatian secara serius oleh pihak kerajaan bagi meningkatkan tahap
kebajikan, perlindungan, kemakmuran dan kesejahteraan ekonomi secara menyeluruh.
Selain itu, disarankan agar semua pihak khususnya pihak kerajaan mempunyai hala tuju
dan dasar yang jelas untuk meningkatkan kualiti pekerjaan dalam sektor informal.
Program penambahbaikan seperti program peningkatan kemahiran, perlindungan
pekerjaan serta peluang pendapatan yang memadai perlu dipergitkan lagi agar dapat
memberi manfaat kepada 2.54 juta pekerja dalam sektor informal di Malaysia.
Kesimpulannya, kajian ini telah memberi sumbangan signifikan terhadap implikasi teori
dan praktikal penyertaan wanita dalam sektor informal dan seterusnya menjawab semua
persoalan dan objektif kajian.
Download File
Additional Metadata
Item Type: |
Thesis
(Doctoral)
|
Subject: |
Women - Employment - Malaysia |
Subject: |
Informal sector (Economics) |
Subject: |
Home economics - Malaysia |
Call Number: |
FEM 2022 32 |
Chairman Supervisor: |
Zuroni binti Md. Jusoh, PhD |
Divisions: |
Faculty of Human Ecology |
Depositing User: |
Ms. Rohana Alias
|
Date Deposited: |
22 Oct 2024 09:02 |
Last Modified: |
22 Oct 2024 09:02 |
URI: |
http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/112942 |
Statistic Details: |
View Download Statistic |
Actions (login required)
|
View Item |