Citation
Rahman, Siti Hajar
(2022)
Meneroka iklim sekolah dalam pembentukan akhlak atlet pelajar di sebuah sekolah sukan di Johor, Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Teori pembelajaran sosial menekankan bahawa perilaku manusia dipengaruhi
oleh persekitaran. Persekitaran sosial yang merujuk kepada iklim sekolah
merupakan salah satu faktor yang boleh menjadi penyumbang kepada
perkembangan moral dan disiplin pelajar. Isu kebejatan akhlak dalam kalangan
remaja bukanlah satu isu yang asing pada hari ini, atlet pelajar dalam konteks
kajian ini berusia dalam lingkungan 13-17 tahun, maka mereka juga mempunyai
potensi untuk terlibat dengan masalah kebejatan akhlak. Oleh yang demikian,
satu kajian perlu dilakukan untuk meneroka iklim sekolah dan pengaruhnya
dalam pembentukan akhlak positif kepada pelajar. Oleh itu, kajian ini dijalankan
untuk meneroka iklim sekolah menerusi dua persoalan utama: (1) Bagaimana
pelajar menjalani iklim sekolah di Sekolah Sukan Negeri Johor? (2) Apakah
pengaruh kepada penghayatan iklim Sekolah Sukan Negeri Johor kepada
pembentukan akhlak atlet pelajar?
Kajian ini dijalankan menggunakan kaedah penyelidikan Kualitatif berunsurkan
kajian kes. Sejumlah 10 orang informan yang terdiri daripada atlet pelajar, guru
dan pengetua telah terlibat dalam kajian ini. Data dikumpulkan menerusi
temubual semi struktur mendalam serta triangulasi data disokong melalui
pemerhatian turut serta, analisis dokumen serta catatan nota lapangan. Data
seterusnya dianalisis, diberikan kod, dikategorikan untuk membentuk sub-tema,
seterusnya tema utama dibina untuk menjawab setiap persoalan kajian.
Dapatan kajian menunjukkan terdapat dua tema yang terbentuk dalam
penerokaan iklim sekolah iaitu memperkasakan amalan harian dan
mengamalkan budaya sihat yang positif. Amalan harian diperkasakan melalui
penerapan amalan kerohanian, kecergasan fizikal, menekankan keseimbangan
akademik, sukan dan akhlak serta disiplin pelajar. Manakala amalan budaya
sihat dan positif pula, diperincikan kepada bimbingan dan panduan, unsur suri teladan, pematuhan peraturan, pementoran, mengambil kira kesediaan pelajar,
keluarga sebagai inspirasi dan juga sokongan rakan-rakan. Hasil kajian juga
mendapati, terdapat dua tema utama yang terbentuk hasil daripada pengaruh
iklim sekolah terhadap atlet pelajar iaitu menjadikan Sekolah Sukan Negeri
Johor menjadi sekolah pilihan kerana terdapat elemen memantapkan
pembelajaran berunsurkan kerohanian dan juga melahirkan pelajar ideal dengan
membentuk akhlak dan atlet pelajar, melahirkan pelajar yang mementingkan
kebajikan bersama, pelajar berdikari, pelajar berkepimpinan, membentuk habit
yang baik dalam diri pelajar dan seterusnya menghasilkan pelajar yang
mempunyai masa hadapan yang cerah.
Implikasi daripada kajian ini boleh dijadikan panduan dan dorongan kepada
pengetua dan guru supaya dapat membudayakan elemen positif menerusi iklim
sekolah berdasarkan prinsip yang berpaksikan kepatuhan kepada tuhan sebagai
asas dalam membina persekitaran sekolah yang kondusif dalam pelbagai aspek.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |