Citation
Abang Ibrahim, Dayang Suryati
(2021)
Kesan pembelajaran berasaskan projek dalam mata pelajaran reka bentuk dan teknologi terhadap kolaborasi dan rasa ingin tahu murid.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Pengajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) yang hanya tertumpu kepada
hasil produk menyebabkan murid kurang didedahkan kepada kemahiran untuk
berkolaborasi dan mencetuskan rasa ingin tahu dalam pembelajarannya.
Justeru itu, kajian untuk menentukan kaedah pengajaran RBT dalam
menerapkan tahap kolaborasi dan rasa ingin tahu serta kesannya adalah
diperlukan. Dua pendekatan pembelajaran digunakan iaitu Pengajaran
Tradisional (PT) bagi kumpulan kawalan dan Pembelajaran Berasaskan Projek
(PBP) untuk kumpulan rawatan. Kajian secara kuasi eksperimen dijalankan
dengan reka bentuk kumpulan kawalan tidak setara. Dua kumpulan kajian dipilih
daripada dua buah sekolah harian yang berbeza yang terdiri daripada 34 orang
murid bagi kumpulan kawalan dan 32 orang murid untuk kumpulan rawatan.
Ujian pra dijalankan dan diikuti dengan pelaksanaan intervensi selama tujuh
minggu. Selepas selesai intervensi, ujian pasca dijalankan oleh kedua-dua
kumpulan. Instrumen Collaboration Questionnaire dan 5-Dimensional Curiosity
Scale yang telah diubahsuai oleh pengkaji digunakan dalam kedua-dua ujian.
Data yang diperoleh dianalisis secara deskriptif dan inferens. Ujian pra
menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan dalam tahap kolaborasi dan rasa
ingin tahu bagi kedua-dua kumpulan. Walau bagaimanapun, ujian pasca
menunjukkan tahap kolaborasi dan rasa ingin tahu murid bagi kumpulan rawatan
adalah lebih tinggi secara signifikan berbanding kumpulan kawalan. Justeru itu,
dapatan kajian mencadangkan bahawa kolaborasi dan rasa ingin tahu murid
dapat diterapkan dalam pengajaran guru melalui kaedah PBP. Hal ini dapat
dilakukan melalui perbincangan yang berstruktur dan penyoalan essential
daripada perancangan yang eksplisit, aktiviti pembelajaran yang bersesuaian
serta bahan bantu mengajar dan bahan bantu belajar yang menyokong kepada
pelaksanaan kerja projek murid.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |