Citation
Muhammad Nizam, Noor Shahirah
(2020)
Faktor kecenderungan tingkah laku prososial dalam kalangan pelajar IPTA di Selangor, Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini dijalankan untuk menentukan hubungan antara personaliti, efikasi kendiri dan penglibatan kesukarelawanan dengan kecenderungan tingkah laku prososial dalam kalangan mahasiswa di Selangor, Malaysia. Objektif khusus kajian ini adalah untuk i) mengenal pasti trait personaliti individu, tahap efikasi kendiri, tahap kecenderungan tingkah laku prososial dan tahap penglibatan dalam kesukarelawanan; ii) menentukan perbezaan kecenderungan tingkah laku prososial berdasarkan gender responden; iii) menentukan hubungan antara personaliti, efikasi kendiri dan penglibatan kesukarelawanan dengan kecenderungan tingkah laku prososial; dan iv) menentukan faktor-faktor peramal kecenderungan tingkah laku prososial. Seramai 464 responden yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Awam di Selangor terlibat dalam kajian ini. Responden dipilih melalui kaedah rawak berkelompok. Data diperolehi dengan menggunakan borang soal selidik yang ditadbir sendiri oleh responden. Instrumen yang telah digunakan untuk mengukur personaliti ialah “Big Five Inventory” oleh Goldberg (1993), bagi mengukur tahap efikasi kendiri pula adalah “General Self-Efficacy Scale” oleh Matthias Jerusalem dan Ralf Schwarzer (1995) dan untuk kecenderungan tingkah laku prososial diukur menggunakan "Prosocial Tendencies Measure" oleh Carlo dan Randall (2002). Kesemua instrumen yang digunakan mempunyai nilai pekali kebolehpercayaan Cronbach’s Alpha antara 0.634 hingga 0.855. Analisis statistik yang digunakan adalah Ujian-t, korelasi Pearson dan regresi berganda.
Hasil kajian mendapati majoriti (87.3%) mahasiswa mempunyai tahap personaliti Kesetujuan di tahap tinggi. Ini menunjukkan bahawa mahasiswa sentiasa bertanggungjawab dalam menghulurkan bantuan bagi yang memerlukan. Keputusan bagi tahap efikasi kendiri mahasiswa berada pada tahap tinggi manakala tahap kecenderungan tingkah laku prososial altruistik dan egoistik berada pada tahap yang sederhana dan tahap penglibatan kesukarelawanan berada pada tahap yang sederhana. Kajian mendapati dimensi kecenderungan tingkah laku prososial egoistik responden adalah yang utama. Kajian juga menunjukkan kecenderungan tingkah laku prososial bagi dimensi altruistik (t = 2.32 p<0.05) dan egoistik mempunyai perbezaan yang signifikan antara lelaki dan perempuan (t = 1.60 p<0.05). Mahasiswa lelaki mempunyai tahap kecenderungan tingkah laku prososial altruistik yang lebih tinggi berbanding perempuan. Selain itu, kajian ini mendapati terdapat hubungan yang signifikan antara personaliti Terbuka kepada pengalaman, Berhemah dan Ekstraversi dengan kecenderungan tingkah laku prososial Altruistik (r = .171 hingga r = .182; p < .01). Bagi kecenderungan tingkah laku prososial Egoistik pula mendapati, personaliti Terbuka kepada pengalaman, Berhemah, Kesetujuan dan Ekstraversi mempunyai hubungan yang signifikan (r= .186 hingga r = .281; p < .01). Seterusnya, bagi personaliti Terbuka kepada pengalaman, Berhemah, Ekstraversi dan Neurotisisme didapati mempunyai hubungan yang signifikan dengan efikasi kendiri (r = .249 hingga r = .333; p < .01).
Bagi efikasi kendiri pula menunjukkan hubungan yang signifikan dengan kecenderungan tingkah laku prososial bagi dimensi emosi dan mengerikan (r = .170 hingga r = .281; p < .01). Ujian regrasi berganda menunjukkan terdapat pengaruh antara faktor-faktor peramal iaitu personaliti, efikasi kendiri, penglibatan kesukarelawanan dan gender dengan kecenderungan tingkah laku prososial. Kesimpulannya, kecenderungan tingkah laku prososial dalam kalangan mahasiswa harus dipertingkatkan agar dapat membentuk golongan ilmuwan yang boleh menjadi model sosial kepada generasi belia di Malaysia serta dapat menyemai sikap ikhlas dan prihatin dalam masyarakat supaya mereka sentiasa peka dan ingin memberikan bantuan tanpa mengharap apa-apa balasan.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |