Citation
Mohamed, Ahmad Syahmi
(2021)
Strategi bertutur dalam kalangan pendebat bahasa arab di peringkat pra-universiti.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Pelajar yang menyertai aktiviti debat perlu memiliki kemahiran berkomunikasi lisan yang
berkesan baik dari segi penyampaian idea mahupun kehalusan bahasa. Seseorang pendebat
yang fasih perlu menyampaikan hujah dengan seimbang, informatif, dan difahami. Dalam
hal ini, penggunaan strategi bertutur yang berbeza- beza dilihat sebagai satu elemen yang
penting dalam menghasilkan komunikasi lisan yang berkesan. Justeru, kajian ini
dijalankan bagi mengenal pasti strategi bertutur yang digunakan oleh pendebat bahasa
Arab, serta menganalisis cara penggunaan strategi ini dalam proses perdebatan. Responden
yang dipilih merupakan peserta debat yang menjuarai debat bahasa Arab peringkat IPT,
manakala data diperoleh daripada rakaman video pertandingan debat serta temu bual
dengan responden yang dipilih. Dapatan kajian kemudiannya dianalisis menggunakan
Teori Strategi Komunikasi. Hasil kajian mendapati bahawa para pendebat menggunakan
pengabaian mesej dan pengelakan topik; iaitu substrategi di bawah strategi pengelakan,
serta penganggaran, kata ciptaan dan penghuraian berjela di bawah strategi parafrasa. Para
pendebat juga kerap menggunakan terjemahan literal, rayuan kerjasama, penukaran bahasa
dan mimik bagi strategi pemindahan. Kajian turut mendapati satu lagi substrategi baharu
yang menjadi cabang kepada strategi terjemahan literal, iaitu terjemahan kontekstual.
Selain itu, satu strategi baharu telah ditemukan, iaitu strategi pengulangan. Hasil analisis
cara penggunaan strategi pula menunjukkan para pendebat menggunakan strategi dalam
tiga (3) proses yang berbeza, iaitu semasa penyediaan teks, penyampaian hujah, serta
ketika menjawab celahan. Strategi bertutur telah digunakan sebagai persediaan untuk
menyusun idea sebelum perlawanan bermula. Apabila berada di pentas debat, strategi
bertutur digunakan untuk melancarkan bahasa, menerangkan maksud, menarik perhatian,
melakukan perpindahan kepada hujah seterusnya, dan juga sebagai tempoh singkat untuk
merehatkan minda. Strategi bertutur juga digunakan apabila berhadapan dengan masalah
kekurangan kosa kata atau mesej yang kurang difahami. Kesemua strategi ini digunakan
untuk menyampaikan hujah dengan penuh yakin, tanpa rasa tergugat sekalipun
menghadapi kekurangan daripada diri sendiri dan juga gangguan oleh pihak lawan.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |