Citation
Abdul Rahman, Mohd Muhaimi
(2022)
Pendekatan dakwah dalam manuskrip Syair Dagang.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Syair Dagang merupakan sebuah syair keagamaan yang tergolong dalam syair
berbentuk nasihat. Syair Dagang begitu popular dan seringkali dikaitkan dengan
seorang sarjana, cendekiawan, ilmuan dan penyair yang tidak asing lagi, iaitu
Hamzah Fansuri. Namun, Syair Dagang yang didokumentasikan di Malaysia
masih kurang dikaji walaupun terdapat beberapa versi manuskrip Syair Dagang
yang tersimpan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Kajian dilakukan
untuk memenuhi tiga objektif. Objektif pertama ialah mentransliterasi manuskrip
Syair Dagang Adanya (MSS 3160). Objektif kedua ialah menganalisis
pendekatan dakwah yang digunakan dalam manuskrip Syair Dagang. Objektif
ketiga ialah merumuskan pendekatan dakwah dalam manuskrip Syair Dagang.
Kajian menggunakan empat versi manuskrip Syair Dagang, iaitu Syair Dagang
Adanya (MSS 3160), Syair Anak Dagang (MSS 3862), Syair Anak Dagang (MSS
3303) dan Syair Anak Dagang (MSS 3532). Manuskrip Syair Dagang Adanya
(MSS 3160) dijadikan sebagai manuskrip utama, iaitu sumber primer (manuskrip
A) manakala tiga versi lain dijadikan sebagai manuskrip sampingan. Manuskrip
Syair Dagang Adanya (MSS 3160) ditransliterasikan daripada tulisan Jawi
kepada Rumi dan dianalisis dengan menggunakan pendekatan dakwah menurut
Model Pembujukan Dakwah oleh Nor Raudah Siren, iaitu al-hikmah, al-mawizah
al-hasanah dan al-mujadalah. Ketiga-tiga pendekatan dakwah adalah
berdasarkan dakwah Nabi Muhammad SAW sebagaimana terkandung dalam
Surah al-Nahl (16:25). Dapatan mendapati bahawa manuskrip Syair Dagang
Adanya (MSS 3160) dan Syair Anak Dagang (MSS 3862) merupakan karya
Hamzah Fansuri. Hasil kajian mendapati bahawa manuskrip Syair Dagang
Adanya (MSS 3160) merupakan sebuah karya yang mengisahkan tentang
pengembaraan seorang sufi yang diriwayatkan sebagai dagang. Manuskrip
Syair Dagang Adanya (MSS 3160) kaya dengan teladan, pengajaran, hukum-hakam dalam Islam, seperti rukun iman dan rukun Islam. Selain itu, Syair Dagang Adanya (MSS 3160) kaya dengan ilmu-ilmu seperti syarat berniaga,
syarat menjadi nakhoda dan syarat mencari jodoh. Nasihat-nasihat seperti
nasihat buat anak, nasihat bersahabat dan nasihat agama dapat dijadikan
sempadan supaya sasaran dakwah lebih berhati-hati dan berwaspada dengan
tindakan yang dilakukan. Kesimpulannya, penyelenggaraan manuskrip berjaya
merungkai pelbagai persoalan tentang manuskrip Syair Dagang dengan lebih
menyeluruh, manakala analisis pendekatan dakwah menurut Model
Pembujukan Dakwah oleh Nor Raudah Siren dapat menjelaskan tentang gaya
persembahan dakwah yang baik dan menarik dalam Syair Dagang, sekali gus
membantu keberkesanan penyampaian mesej dakwah. Keindahan dakwah
Islam di samping nilai-nilai murni boleh digunakan sebagai panduan dalam
menempuh kehidupan seharian.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |