UPM Institutional Repository

Aspek tarbiah dalam novel kanak-kanak sayembara Dewan Bahasa dan Pustaka berdasarkan pendekatan tarbiyatul aulad fil Islam oleh Abdullah Nashih Ulwan


Citation

Ahmad, Mohd Shukrey (2021) Aspek tarbiah dalam novel kanak-kanak sayembara Dewan Bahasa dan Pustaka berdasarkan pendekatan tarbiyatul aulad fil Islam oleh Abdullah Nashih Ulwan. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Perkembangan novel kanak-kanak di Malaysia dimeriahkan dengan penganjuran sayembara penulisan sebagai usaha mendapatkan karya yang bermutu untuk pembaca. Sehubungan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai badan berkanun yang berperanan mengembangkan bidang kesusasteraan telah menganjurkan pelbagai siri sayembara dan anugerah penulisan berkaitan novel kanak-kanak sejak dahulu lagi. Usaha ini juga turut disokong dengan kajian akademik di peringkat universiti bertujuan meletakkan genre novel kanak-kanak di aras yang terbaik. Sejajar dengan itu, penelitian terhadap kajian lepas mendapati terdapat lompang kosong berkaitan kajian novel kanak-kanak berunsur Islam. Hal ini demikian kerana majoriti pembaca novel di negara ini beragama Islam dan berbangsa Melayu, maka perkara ini perlu diberi perhatian. Tambahan pula, terdapat beberapa pandangan yang menyatakan novel kanak-kanak masih lagi kurang menerapkan aspek pembentukan sahsiah serta tidak mencapai mutu penulisan yang sebenar. Oleh itu, perkara ini perlu ditangani menggunakan suatu pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan pembaca sasaran iaitu pendekatan berteraskan agama Islam. Oleh itu, kajian akan meneliti novel kanak-kanak yang memenangi sayembara penulisan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka bermula tahun 2006 sehingga 2016. Sepanjang tempoh tersebut hanya tiga belas buah novel sahaja yang berjaya diterbitkan dan perkara tersebut melibatkan empat siri penganjuran sayembara kanak-kanak. Antaranya, Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi kategori C novel kanak-kanak, Sayembara Menulis Novel Kanak-kanak dan Remaja DBP 2006/2007, Sayembara Menulis Novel dan Skrip Drama Kanak-kanak dan Remaja DBP 2009/2010 serta Sayembara Menulis Novel Angkasa DBP 2013/2014. Sejajar dengan itu, kajian ini telah menerapkan pendekatan Tarbiyatul Aulad Fil Islam oleh Abdullah Nashih Ulwan sebagai kerangka analisis bertujuan untuk mengenal pasti aspek tarbiah yang terkandung dalam novel kajian. Di samping itu, cabang pendekatan ini juga akan dihuraikan supaya memberi kefahaman yang mendalam tentang aspek tarbiah dalam novel kanak-kanak. Rumusan turut dilakukan terhadap sayembara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka berdasarkan pendekatan Tarbiyatul Aulad Fil Islam dengan melihat aspek tarbiah yang dominan terkandung dalam novel kanak-kanak pemenang. Setelah dilakukan analisis kajian mendapati enam aspek tarbiah yang berjaya diaplikasikan iaitu Tarbiah Iman, Tarbiah Akhlak, Tarbiah Jasmani, Tarbiah Mental, Tarbiah Psikologi dan Tarbiah Sosial. Di samping itu, penelitian menggunakan pendekatan Tarbiyatul Aulad Fil Islam ini merumuskan bahawa novel kanak-kanak daripada Hadiah Sastera Perdana Malaysia yang dinilai lebih menerapkan aspek tarbiah berbanding novel daripada empat sayembara penulisan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka sepanjang tempoh berkenaan. Oleh itu, dapat dinyatakan bahawa novel pemenang sayembara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka ini sememangnya mengandungi aspek tarbiah yang boleh membentuk intelektual dan sahsiah pembaca kanak-kanak. Hal ini menuntut agar dilakukan lebih banyak kajian terhadap novel kanak-kanak dengan menggunakan pendekatan berpaksikan Islam. Kajian tentang genre kanak-kanak ini penting lantaran ia menjadi medium pendidikan dan penyampai nasihat yang selari dengan kehendak agama Islam.


Download File

[img] Text
FBMK 2022 13 UPMIR.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Children's literature - Religious aspects - Islam
Subject: Islamic religious education of children
Call Number: FBMK 2022 13
Chairman Supervisor: Prof. Madya Kamariah binti Kamarudin, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Editor
Date Deposited: 11 Apr 2023 01:06
Last Modified: 11 Apr 2023 01:06
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/99645
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item