Citation
Ahmad, Mohd Shukrey
(2021)
Aspek tarbiah dalam novel kanak-kanak sayembara Dewan Bahasa dan Pustaka berdasarkan pendekatan tarbiyatul aulad fil Islam oleh Abdullah Nashih Ulwan.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Perkembangan novel kanak-kanak di Malaysia dimeriahkan dengan penganjuran
sayembara penulisan sebagai usaha mendapatkan karya yang bermutu untuk
pembaca. Sehubungan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai badan berkanun yang
berperanan mengembangkan bidang kesusasteraan telah menganjurkan pelbagai siri
sayembara dan anugerah penulisan berkaitan novel kanak-kanak sejak dahulu lagi.
Usaha ini juga turut disokong dengan kajian akademik di peringkat universiti
bertujuan meletakkan genre novel kanak-kanak di aras yang terbaik. Sejajar dengan
itu, penelitian terhadap kajian lepas mendapati terdapat lompang kosong berkaitan
kajian novel kanak-kanak berunsur Islam. Hal ini demikian kerana majoriti pembaca
novel di negara ini beragama Islam dan berbangsa Melayu, maka perkara ini perlu
diberi perhatian. Tambahan pula, terdapat beberapa pandangan yang menyatakan
novel kanak-kanak masih lagi kurang menerapkan aspek pembentukan sahsiah serta
tidak mencapai mutu penulisan yang sebenar. Oleh itu, perkara ini perlu ditangani
menggunakan suatu pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan pembaca sasaran
iaitu pendekatan berteraskan agama Islam. Oleh itu, kajian akan meneliti novel
kanak-kanak yang memenangi sayembara penulisan anjuran Dewan Bahasa dan
Pustaka bermula tahun 2006 sehingga 2016. Sepanjang tempoh tersebut hanya tiga
belas buah novel sahaja yang berjaya diterbitkan dan perkara tersebut melibatkan
empat siri penganjuran sayembara kanak-kanak. Antaranya, Hadiah Sastera Perdana
Malaysia bagi kategori C novel kanak-kanak, Sayembara Menulis Novel Kanak-kanak dan Remaja DBP 2006/2007, Sayembara Menulis Novel dan Skrip Drama
Kanak-kanak dan Remaja DBP 2009/2010 serta Sayembara Menulis Novel Angkasa
DBP 2013/2014. Sejajar dengan itu, kajian ini telah menerapkan pendekatan
Tarbiyatul Aulad Fil Islam oleh Abdullah Nashih Ulwan sebagai kerangka analisis
bertujuan untuk mengenal pasti aspek tarbiah yang terkandung dalam novel kajian.
Di samping itu, cabang pendekatan ini juga akan dihuraikan supaya memberi
kefahaman yang mendalam tentang aspek tarbiah dalam novel kanak-kanak. Rumusan turut dilakukan terhadap sayembara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka
berdasarkan pendekatan Tarbiyatul Aulad Fil Islam dengan melihat aspek tarbiah
yang dominan terkandung dalam novel kanak-kanak pemenang. Setelah dilakukan
analisis kajian mendapati enam aspek tarbiah yang berjaya diaplikasikan iaitu
Tarbiah Iman, Tarbiah Akhlak, Tarbiah Jasmani, Tarbiah Mental, Tarbiah Psikologi
dan Tarbiah Sosial. Di samping itu, penelitian menggunakan pendekatan Tarbiyatul
Aulad Fil Islam ini merumuskan bahawa novel kanak-kanak daripada Hadiah Sastera
Perdana Malaysia yang dinilai lebih menerapkan aspek tarbiah berbanding novel
daripada empat sayembara penulisan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka sepanjang
tempoh berkenaan. Oleh itu, dapat dinyatakan bahawa novel pemenang sayembara
anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka ini sememangnya mengandungi aspek tarbiah
yang boleh membentuk intelektual dan sahsiah pembaca kanak-kanak. Hal ini
menuntut agar dilakukan lebih banyak kajian terhadap novel kanak-kanak dengan
menggunakan pendekatan berpaksikan Islam. Kajian tentang genre kanak-kanak ini
penting lantaran ia menjadi medium pendidikan dan penyampai nasihat yang selari
dengan kehendak agama Islam.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |