Citation
Muhayat, Faezah
(2022)
Integrasi etnik dalam novel kanak-kanak pemenang hadiah sayembara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Integrasi etnik dalam novel kanak-kanak ialah proses penyatuan pelbagai
kelompok bangsa melalui pengenalan dan pewujudan satu identiti yang sama
melalui cerita yang berlatarkan dunia kanak-kanak. Kajian ini dilakukan
rentetan daripada laporan oleh beberapa kajian yang mendapati bahawa tahap
sosialisasi kanak-kanak pelbagai etnik di negara ini berada pada tahap rendah
dan tidak mesra. Dapatan ini menunjukkan petanda kurang sihat generasi
muda dalam proses mewujudkan integrasi etnik. Menurut pandangan sarjana,
pendekatan kesusasteraan sebagai alat penyatuan etnik adalah berkesan
kerana hasil karya sastera dalam pelbagai bentuk dapat memupuk perpaduan.
Hal ini dapat dilihat melalui penyampaian cerita yang dapat memberi inspirasi
dan mendidik sikap serta emosi manusia kepada kehidupan kerohanian yang
jujur, ikhlas, berbudi bahasa, bersyukur dan bertolak ansur. Lantaran itu, kajian
ini dilakukan dengan tujuan untuk mengenal pasti integrasi etnik dalam novel
kanak-kanak pemenang hadiah sayembara anjuran Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) berdasarkan konsep ‘integrasi etnik’ yang dikemukakan oleh
tokoh sarjana, menganalisis aspek-aspek integrasi etnik tersebut berdasarkan
Model Integrasi Kanak-kanak Pelbagai Etnik janaan Model Proses Integrasi Ali
Mazrui (1969) dan seterusnya merumuskan tahap integrasi dominan yang
terdapat dalam novel kanak-kanak pemenang hadiah sayembara anjuran DBP.
Untuk mencapai objektif ini, sepuluh buah novel kanak-kanak pemenang
hadiah sayembara anjuran DBP telah dipilih untuk dianalisis. Berdasarkan
Model Integrasi Kanak-kanak Pelbagai Etnik, dapatan kajian menemukan
sebanyak lapan daripada sepuluh buah novel kanak-kanak telah menunjukkan
tahap integrasi dominan, iaitu pada tahap 3 dan tahap 4. Novel-novel yang
mencapai integrasi tahap 3 ialah novel Namanya Solstis (2010), Rahsia Dhia
(2014), Iqbal Membina Jaya (2015) dan Musim Luruh Terakhir di Hachioji
(2009). Manakala novel kanak-kanak yang berada pada tahap 4 pula ialah
Memori Atikah (2002), Ekspedisi Merentas Zaman (2009), Gerbang Pelangi
(2015) dan Sahabatku Isa YB (2016). Kajian juga mendapati bahawa
pengarang novel Gerbang Pelangi (2015) telah menerapkan keempat-empat
aspek integrasi etnik dalam penceritaannya. Pada tahap 3 dan tahap 4,
hubungan kanak-kanak menjadi kompleks, beragam, saling bergantung dan
mencapai keserasian sehingga mencapai tahap integrasi maksimum, iaitu
berlaku penyatuan (asimilasi) dalam pergaulan kanak-kanak berlainan etnik.
Kanak-kanak ini dilihat serasi berkawan dan selesa mengamalkan cara hidup
rakan-rakan berlainan etnik tanpa paksaan. Hasil kajian ini merumuskan
bahawa novel kanak-kanak berupaya menjadi medium integrasi etnik dalam
kalangan kanak-kanak di Malaysia.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |