Citation
Muhammad, Siti Rahayu
(2021)
Kesilapan morfologi dalam karangan bahasa melayu murid tahun enam.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Penguasaan bidang morfologi bahasa Melayu merupakan elemen penting dalam penghasilan karangan yang berkualiti. Murid sekolah rendah, terutamanya murid tahun enam yang tidak menguasai bidang morfologi dengan mantap akan mempengaruhi tahap penguasaan kemahiran menulis karangan apabila mereka menjejakkan kaki ke peringkat sekolah menengah. Kemahiran menulis merupakan keterampilan berbahasa yang mesti dikuasai oleh murid seiring dengan penguasaan dalam bidang morfologi agar karangan yang dihasilkan mampu difahami oleh pembaca. Sehubungan dengan itu, kajian ini dilaksanakan untuk mengenal pasti kesilapan morfologi dalam karangan bahasa Melayu murid tahun enam bagi menyokong objektif satu dan dua kajian ini iaitu menganalisis kesilapan golongan kata dan menganalisis kesilapan bentuk kata dalam karangan bahasa Melayu murid tahun enam. Kajian berbentuk analisis dokumen ini menggunakan Teori Kesilapan Corder (1973). Dapatan analisis kesilapan dipersembahkan dalam bentuk kekerapan dan peratusan. Objektif ketiga kajian ini menghuraikan faktor yang mempengaruhi berlakunya kesilapan morfologi melalui temu bual bersama-sama kumpulan sasaran iaitu guru yang mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu. Sebanyak 50 karangan deskriptif digunakan sebagai alat kajian. Analisis kesilapan menunjukkan murid tahun enam tersebut melakukan kesilapan morfologi ketika menulis karangan bahasa Melayu. Murid melakukan 14 (10.37%) kesilapan golongan kata nama, 43 (31.85%) kata kerja, dan 78 (57.78%) kata tugas. Kesilapan pembent ukan kata pula dapat dilihat dalam pembentukan kata tunggal 5 (9.10%), kata terbitan 36 (65.45%), dan kata ganda 14 (25.45%). Faktor yang menyebabkan kesilapan morfologi dalam karangan bahasa Melayu oleh murid tahun enam iaitu faktor pengaruh faktor bahasa lisan, faktor tahap kefahaman murid, faktor proses pengajaran dan pembelajaran, dan faktor kesediaan guru. Berdasarkan dapatan kajian, dapat disimpulkan bahawa kajian analisis kesilapan morfologi dalam karangan bahasa Melayu amat penting untuk meningkatkan pengetahuan dan memantapkan konsep morfologi dalam kalangan murid tahun enam sebagai persediaan pembelajaran peringkat yang lebih tinggi.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |