Citation
Hassan, Noor Roza
(2019)
Pentakrifan entri dialek Kelantan dalam Kamus Dewan edisi keempat.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Fungsi kamus yang paling penting adalah sebagai sumber rujukan makna pada sesuatu
perkataan. Pengguna menggunakan kamus bercetak, elektronik mahupun digital untuk
mencari dan memahami makna yang tepat pada sesuatu perkataan. Walau
bagaimanapun, bidang perkamusan mempunyai masalah dalam pengkajian dan
pentakrifan makna pada sesuatu perkataan kerana perbezaan bentuk pentakrifan
(Hasnah, 2008) dan cara persembahan maklumat bagi sesuatu golongan kata juga
berbeza antara kamus umum dengan kamus khusus (Ibrahim, 2005). Natijah daripada
masalah yang dinyatakan itu, maka Kamus Dewan edisi keempat (KD4) telah
memperlihatkan pentakrifan entri dialek Kelantan (DK) yang kurang tepat kerana
berlakunya pertumpangtindihan makna yang berlingkaran. Masalah ini menyebabkan
berlakunya kekeliruan makna kepada pengguna. Bagi mengatasi masalah tersebut,
kajian ini telah merangka tiga objektif yang penting, iaitu untuk mengenal pasti entri
DK yang bermasalah pentakrifan dalam KD4 berdasarkan prinsip perkamusan,
menghuraikan pentakrifan makna entri DK berdasarkan Teori Analisis Komponen
Makna (1975) dan menghasilkan satu bentuk pentakrifan baharu bagi entri DK dalam
KD4. Bagi mencapai objektif kajian, sebanyak sepuluh entri DK dalam KD4 telah
dipilih sebagai data kajian, iaitu cedas, cendas, cerung, darat, dedes, gagar, gasor,
gaya, gelenyar dan jadar. Metodologi kajian ini menggunakan kajian kepustakaan dan
kajian lapangan. Kajian kepustakaan melibatkan penelitian perbezaan pentakrifan
makna yang terkandung dalam KD4 dan semua bahan bertulis yang berhubungan
dengan kajian. Kajian lapangan melibatkan sebanyak 30 orang informan dari tiga buah
daerah di negeri Kelantan, temu bual dan rakaman audio. Dapatan kajian yang
dilakukan telah dapat mengatasi masalah yang dihadapi oleh pengguna dengan
mengenal pasti entri DK yang bermasalah pentakrifan dalam KD4, berjaya
menghuraikan pentakrifan makna entri DK berdasarkan Teori Analisis Komponen
Makna (1975) dan dapat menghasilkan satu bentuk pentakrifan baharu entri dialek.
Justeru, usaha merumuskan pentakrifan entri dialek Kelantan dalam KD4 oleh pengkaji menjadi satu titik permulaan penyemakan semula bentuk pentakrifan dalam KD
terutama makna kata dialek.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |