Citation
Metussin, Mohammad Shahrin
(2019)
Kata konsep berkaitan alam Islam dalam syair terpilih Muda Omar Ali Saifuddien.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kewujudan syair, khususnya di Brunei Darussalam adalah khazanah yang
sangat bernilai kepada masyarakat Melayu Brunei. Sebagai sebuah wadah puisi
Melayu tradisional yang sarat dengan falsafah dan pemikiran sudah tidak syak
lagi bahawa naratif syair mengandungi kata-kata konsep yang secara langsung
berhubungan dengan alam Islam. Sehubungan dengan itu, kajian ini akan
menumpukan pengkajian makna dan hubungannya dengan pandangan alam
Islam terhadap kata-kata konsep berkaitan alam Islam yang terkandung dalam
syair-syair terpilih Muda Omar’Ali Saifuddien. Objektif kajian ini ialah mengenal
pasti kata konsep berkaitan alam Islam dalam syair MOAS. Menganalisis makna
struktur dalam kata konsep berkaitan alam Islam dalam syair MOAS, dan
merumuskan kata konsep berkaitan alam Islam dalam syair MOAS. Data kajian
pula terdiri daripada lima buah karya syair nukilan Muda Omar ’Ali Saifuddien,
iaitu; Syair Asli Rajang Hari, Syair Nasihat, Syair Perlembagaan Negeri Brunei,
Syair Kenangan, dan Rampaian Laila Syair. Kajian kualitatif yang menggunakan
kaedah analisis tekstual dilakukan dengan memberikan huraian secara
deskriptif. Analisis makna dasar dan makna perkaitan dilakukan terhadap kata-kata konsep yang terkandung dalam rangkap-rangkap syair tertentu
berdasarkan teori Semantik Struktural (Toshihiko Izutsu, 1959,1964). Manakala
untuk merumuskan pandangan alam semesta (weltanschauung) pula
menenerapkan pendekatan kerangka Pandangan Alam Islam Syed Muhammad
Naquib Al-Attas (1995 & 2015). Teori Semantik Struktural yang dikembangkan
Izutsu menjelaskan bahawa dalam memahami kesepaduan konsep, perlu
memahami makna setiap konsep dalam perspektif makna “asasi” (basic) dan
“perkaitan” (relational). Pendekatan semantik tidak hanya menjelaskan makna
secara harafiah namun lebih penting dari itu adalah mengungkapkan
keseluruhan pengalaman budaya sebagai konsepsi penyair yang dikenali Izutsu
sebagai Weltanschauung semantik Budaya melalui analitik rekonstruksi pada
tahap analitik struktur. Dapatan kajian melalui analisis makna asasi dan makna
perkaitan bagi setiap kata konsep dan istilah-istilah konsep yang melingkungi empat kata konsep utama sebagai pandangan alam syair, memperlihatkan
bahawa terdapat makna perkaitan yang saling berhubung kait antara satu
konsep dengan konsep yang lain. Akhirnya, pengkaji mendapati bahawa teori
semantik struktutral (Izutsu) ini dapat mengungkapkan makna kata-kata konsep
berkaitan pandangan alam yang terdiri daripada kata konsep tauhid, ilmu, adil
dan adab menyerlahkan aspek pandangan alam Islam berasaskan karya syair.
Tegasnya, setiap kata-kata konsep sebuah pandangan alam (weltanschauung),
secara timbal-balik mewujudkan kata-kata konsep yang penuh pentafsiran
makna berdasarkan lingkungan pengalaman konteks budaya. Sehubungan itu,
dapatan kajian berdasarkan karya-karya syair MOAS jelas terbukti bahawa
konsep tauhid dan ilmu disamping penyemaian adab dan adil berperanan
sebagai nilai teras yang terdapat dalam pandangan alam Islam dan perlu
ditanamkan dalam setiap manusia. Kelima-lima buah syair MOAS yang dikaji ini
mengandungi unsur makna dan pandangan alam Islam sejajar dengan falsafah
MIB. Kepentingan Ilmu dan keagungan Allah berlandaskan tauhid yang
berteraskan Islam merupakan unsur yang dominan bagi kata konsep yang
dijelmakan penyair MOAS. Selanjutnya struktur pandangan alam Islam
berasaskan karya Syair MOAS menunjukkan bahawa ciri-ciri alam Islam jelas
terpancar dan disedari kewujudannya melalui kata konsep dan istilah-istilah
Islam sebagai penjelasan penstrukturan makna dan pandangan alam Islam
terhadap konsep tauhid, ilmu, adil dan adab menjadi bukti terdapatnya
lingkungan jalinan perkaitan makna dalam setiap kata konsep.
Download File
Additional Metadata
Item Type: |
Thesis
(Doctoral)
|
Subject: |
Omar Ali Saifuddin III, Haji, Sultan of Brunei, 1914-1986 -Criticism and interpretation |
Subject: |
Malay poetry - History and criticism. - Brunei |
Subject: |
Islam in literature |
Call Number: |
FBMK 2020 50 |
Chairman Supervisor: |
Profesor Madya Zaitul Azma binti Zainon Hamzah, PhD |
Divisions: |
Faculty of Modern Language and Communication |
Depositing User: |
Editor
|
Date Deposited: |
11 Apr 2023 00:53 |
Last Modified: |
11 Apr 2023 00:53 |
URI: |
http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/99438 |
Statistic Details: |
View Download Statistic |
Actions (login required)
|
View Item |