UPM Institutional Repository

Hubungan antara penguasaan konsep, efikasi kendiri dan amalan pengajaran dengan kemahiran berfikir aras tinggi murid tingkatan empat prinsip perakaunan


Citation

Wee, Goik Leng (2020) Hubungan antara penguasaan konsep, efikasi kendiri dan amalan pengajaran dengan kemahiran berfikir aras tinggi murid tingkatan empat prinsip perakaunan. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Satu cabaran dalam pendidikan abad ke-21 kini adalah untuk menghasilkan murid yang mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Kemahiran berfikir merupakan satu elemen penting yang perlu diterap dalam kalangan murid agar lebih kompetitif dan mendapat tempat dalam pasaran global. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti hubungan antara penguasaan konsep, efikasi kendiri dan amalan pengajaran dengan KBAT mata pelajaran Prinsip Perakaunan dalam kalangan murid Tingkatan Empat. Objektif kajian ini adalah untuk menentukan tahap penguasaan konsep, efikasi kendiri, amalan pengajaran dan KBAT murid Prinsip Perakaunan di Malaysia serta faktor dominan yang mempengaruhi KBAT dalam kalangan murid Prinsip Perakaunan. Reka bentuk kajian ini adalah berbetuk deskriptif korelasi dengan menggunakan soal selidik dan ujian pencapaian sebagai instrumen pengumpulan data. Seramai 467 orang murid Tingkatan Empat yang mengambil elektif Prinsip Perakaunan di Malaysia telah dilibatkan dalam kajian ini. Responden telah dipilih menggunakan kaedah persampelan rawak mudah strata berkadaran daripada lima Zon dalam Malaysia iaitu Kedah mewakili zon Utara, Kelantan mewakili zon Timur, Johor mewakili zon Selatan, Negeri Sembilan dan Selangor mewakili zon Tengah dan Sarawak mewakili zon Malaysia Timur. Data yang diperoleh kemudiannya diproses menggunakan IBM SPSS versi 23. Keputusan analisis korelasi memperlihatkan bahawa terdapat hubungan positif yang signifikan antara penguasaan konsep (r=0.655), efikasi kendiri (r=0.344) dan amalan pengajaran (r=0.149) dengan KBAT dalam mata pelajaran Prinsip Perakaunan. Hasil analisis deskriptif pula mendapati tahap KBAT murid, penguasaan konsep dan efikasi kendiri murid adalah pada tahap yang sederhana dengan skor min sebanyak 60.66, 63.15 dan 2.74. Manakala bagi tahap amalan pengajaran pula adalah pada tahap yang tinggi (min=4.49, sp=0.69). Seterusnya analisis regresi stepwise menunjukkan penguasaan konsep merupakan faktor yang dominan penyumbang kepada KBAT dalam kalangan murid Prinsip Perakaunan dan diikuti efikasi kendiri sebagai penyumbang kedua. Implikasi kajian ini mengukuhkan lagi model perubahan konseptual dan teori kognitif sosial dengan membuktikan bahawa kepentingan penguasaan konsep dan efikasi kendiri dalam mempengaruhi pencapaian murid khususnya dalam KBAT. Justeru itu, guru sebagai agen perubahan turut memainkan peranan yang penting dalam memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran agar murid dapat menguasai konsep yang diajar dan sekali gus meningkatkan efikasi kendiri. Sebagai kajian lanjutan, dicadangkan dapat melibatkan pemboleh ubah pengurusan bilik darjah sebagai faktor mediator yang menjelaskan hubungan antara amalan pengajaran guru dengan pencapaian KBAT murid. Selain itu, disarankan agar kajian akan datang dapat menggabungkan kaedah kuantitatif dan kualitatif agar isu penguasaan KBAT ini dapat dikaji dan diterokai dengan lebih mendalam dan lebih spesifik.


Download File

[img] Text
FPP 2021 12 IR.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Accounting - Study and teaching
Subject: Effective teaching
Call Number: FPP 2021 12
Chairman Supervisor: Prof. Madya Suhaida Abdul Kadir, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Editor
Date Deposited: 11 Apr 2023 01:14
Last Modified: 11 Apr 2023 01:14
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/99188
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item